Apakah makna Hari Malaysia bagi anda?

18 September 2017

Kita baharu sahaja menyambut Hari Malaysia dua hari yang lepas sempena mengingati kembali penubuhan Negara Malaysia hasil daripada gabungan entiti Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu.

Sememangnya kita berterima kasih kepada pemimpin politik terutamanya di Sabah dan Sarawak yang terus berjuang selama ini agar tarikh 16 September turut disambut sebagaimana tarikh 31 Ogos.

Sebelum ini, kita tidak begitu perasan mengenai sambutan yang sepatutnya dirai pada 16 September setiap tahun sempena penubuhan Malaysia disebabkan tarikh 31 Ogos lebih ditonjolkan pada setiap tahun.

Ketika dibangku sekolah dahulu, rasanya tiada sambutan yang diadakan pada setiap tarikh 16 September dan hari tersebut seolah-oleh seperti hari biasa, dimana keadaan negara seolah-olah sunyi sepi dari sebarang perayaan kebangsaan.

Namun, setelah berlaku beberapa perubahan dari segi iklim politik negara, baharulah ramai yang celik mata mengenai tarikh 31 Ogos yang disambut pada setiap tahun.

Tarikh tersebut sebenarnya adalah tarikh kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu daripada penjajah British pada tahun 1957 dahulu dan bukannya tarikh kemerdekaan bagi Negara Malaysia.

Hakikatnya, Negara Malaysia hanya ditubuhkan pada 16 September 1963.

Kini, semuanya sudah berubah, tarikh 31 Ogos tetap diraikan di Sabah kerana tarikh tersebut juga merupakan tarikh Sabah merdeka daripada penjajah British pada tahun 1963 dahulu.

Sementara, Sarawak mencapai kemerdekaan dari pihak British pada 17 September 1963.

Semangat perpaduan, hormat-menghormati dan keadilan perlu diaplikasikan dengan lebih lanjut diantara ketiga entiti: Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sesuai dengan perjanjian mereka ketika membentuk Negara Malaysia dahulu.

Kekayaan negara harus diagihkan secara adil dan tidak dimonopoli oleh hanya satu rakan kongsi sahaja.

Kita melihat agihan kekayaan begitu banyak sekali di Persekutuan Tanah Melayu pada setiap kali pembentangan bajet pada setiap tahun.

Namun, agihan tersebut juga perlu dikongsi secara adil terhadap rakan kongsinya yang lain iaitu di Sabah dan Sarawak.

Seandainya agihan kekayaan negara terhadap ketiga entiti itu dilaksanakan secara adil, pasti isu semasa berkaitan dengan Perjanjian Malaysia tidak timbul di Sabah dan Sarawak.

Isu tersebut timbul kerana mereka merasa terpinggir dari menikmati kekayaan negara sebagaimana yang dinikmati oleh penduduk di Persekutuan Tanah Melayu.

Isu royalti minyak dan gas sampai hari ini tetap menjadi isu utama di Sabah dan Sarawak.

Pemimpin politik di Sabah dan Sarawak mahu peratusan royalti minyak tersebut dikaji semula dan dinaikkan untuk membangunkan infrastruktur di Sabah dan Sarawak ke arah yang lebih baik lagi agar ianya setanding dengan apa yang ada di Persekutuan Tanah Melayu atau Semenanjung.

Demikian juga dengan beberapa isu lain yang perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Sebagai rakan kongsi dalam satu organisasi, rakan kongsi tersebut perlu menghormati hak orang lain iaitu rakan kongsi yang terdapat dalam organisasi demikian.

Seandainya isu yang dibangkitkan oleh rakan kongsi lain tidak ditangani dengan serius dan adil, pastilah isu tersebut akan terus berlanjutan tanpa ada titik noktah iaitu penyelesaian yang konkrit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *