Bawa dadah 6,222 gram: Suspek ditahan di lapangan terbang Labuan

FOTO: MOHD Ibrahim (tiga kiri) menunjukkan dadah yang dirampas itu. Turut kelihatan ialah barisan pegawai polis kanan Ibu Pejabat Daerah Labuan. 

18 September 2017

LABUAN – Seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun ditahan di lapangan terbang Labuan pada jam 8.30 malam kelmarin kerana disyaki membawa dadah jenis syabu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, lelaki berkenaan yang berasal dari Sibu dan mempunyai lima orang anak itu ditahan di hadapan kaunter tiket teksi di lapangan terbang tersebut.

“Pihak polis telah memeriksan bagasi yang dibawa oleh lelaki itu dan mendapati enam bungkusan plastik disembunyikan di bawah bahagian pakaian yang berlipat.

“Kemudiannya, pihak polis telah membuka kesemua plastik itu yang mengandungi ketulan kristal dan ianya disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 6,222 gram.

“Kesemua dadah tersebut telah dirampas dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 September ini di Mahkamah Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya kepada pihak media petang tadi.

Beliau berkata lanjut, suspek terbabit juga didapati memiliki rekod jenayah lampau pada tahun 2013 iaitu dibawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001.

Sementara itu, suspek akan disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Suspek akan menjalani hukuman gantung sampai mati sekiranya suspek didapati bersalah.

DADAH yang dirampas dalam enam plastik lutsinar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *