Pengakap bantu mangsa kebakaran Kampung Rancha-Rancha Darat

FOTO: MOHD Alias (empat kiri) menyampaikan bantuan tersebut kepada salah seorang mangsa. Turut kelihatan ialah Norsiah (lima kanan), Hong (tiga kanan) dan pemimpin pengakap yang lain. 

26 September 2017

LABUAN – Empat keluarga mangsa kebakaran di Kampung Rancha-Rancha Darat baru-baru ini telah menerima bantuan kewangan dan keperluan harian daripada Persekutuan Pengakap Malaysia, WP Labuan.

Penyampaian bantuan kewangan dan pakaian tersebut telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Pengakap negeri WP Labuan, Dato’ Sri Mohd Alias Abdul Rahman ketika kunjungan Majlis Pengakap Negeri WP Labuan ke lokasi kebakaran.

Mohd Alias berkata, bantuan yang diberikan diharap dapat membantu meringankan beban mangsa kebakaran yang menyebabkan rumah yang didiami mereka hangus terbakar.

Turut hadir dalam kunjungan tersebut ialah Penaung BP Guild WP Labuan, Datin Sri Dato’ Norsiah Abdullah dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WP Labuan, Skip Hong Heng Chee.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi pada 17 September lalu, empat keluarga di kampung tersebut telah kehilangan tempat tinggal apabila rumah kayu mereka musnah dalam kebakaran.

Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mohd Alias turut berkata, orang ramai diminta untuk lebih berhati-hati dan mengawasi keselamatan bagi mengelakkan tragedi yang tidak diingini daripada berlaku.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *