Tingkah Tari BAF: Sanggar Budaya tewaskan Nyala Dance Theatre

FOTO: ROZMAN (dua kiri), Azhar (kiri) dan Bashir (kanan) bergambar bersama dengan kumpulan Sanggar Budaya Sri Pengkalan yang dinobatkan sebagai johan dalam tingkah tari.

2 Oktober 2017

LABUAN – Kumpulan Sanggar Budaya Sri Pengkalan dari Kuala Lumpur muncul juara dalam Pertandingan Tarian Tingkah Tari (Battle) yang diadakan semalam di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan sempena Borneo Arts Festival (BAF) 2017.

Di tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh kumpulan Nyala Dance Theatre dari Kuala Lumpur dan D’elite Company FSKW dari Kota Kinabalu.

Juara, naib johan dan pemenang tempat ketiga dalam kategori ini masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, RM2,000 dan RM1,000.

Sementara itu, dalam Pertandingan Tarian Kreatif Terbuka, kumpulan Gerini Tari SMK Mendamit dari Limbang Sarawak dinobatkan sebagai johan.

Manakala, di tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh kumpulan Nyala Dance Theatre dan Stadansa dari Kota Kinabalu.

Gerini Tari, Nyala Dance Theatre dan Stadansa masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, RM5,000 dan RM3,000.

Kumpulan yang menang dalam kategori tarian terbuka kreatif ini turut menerima piala dan sijil penyertaan.

Manakala, tempat keempat dan kelima dalam kategori yang sama masing-masing dimenangi oleh Rumpun Seni UiTM Sarawak dan Sanggar Budaya Sri Pengkalan.

Kedua kumpulan tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM1,000 serta sijil penyertaan.

Hadiah sampingan pertandingan tarian kreatif terbuka ini juga diberikan kepada penari lelaki terbaik, penari perempuan terbaik, anugerah khas juri, kumpulan harapan, busana dan tatarias terbaik, muzik terbaik dan koreografi terbaik.

Bagi penari lelaki terbaik, anugerah tersebut digondol oleh Ridwan Mohd. Zaki dari kumpulan Taming Mas UMSKAL, Labuan.

Sementara, penari perempuan terbaik pula dimenangi oleh Ameena Zulaikha Amlee dari kumpulan Stadansa, Kota Kinabalu.

Anugerah khas juri pula dimenangi oleh kumpulan Decade Dance Company dari Sekolah Seni Johor.

Penari lelaki terbaik, penari perempuan terbaik dan anugerah khas juri masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM200.

Anugerah kumpulan harapan pula disandang oleh Persatuan Seni Budaya Sabah.

Bagi busana dan tatarias terbaik, ianya dimenangi oleh D’elite Company FKSW dari Kota Kinabalu.

Sementara itu, anugerah muzik terbaik dan koreografi terbaik pula diberikan kepada D’elite Company FKSW dan Gerini Tari.

Pemenang kumpulan harapan, busana dan tatarias terbaik, muzik terbaik dan koreografi terbaik masing-masing menerima hadiah wang tunai bernilai RM500.

Sejumlah 19 kumpulan telah menyertai pertandingan tarian BAF 2017.

Hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Senator Datuk Bashir Alias dan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan, Azhar Ahmad. 

AKSI salah seorang penari dari Sanggar Budaya (kanan) dan penari dari Nyala Dance (kiri) dalam tingkah tari untuk menentukan siapa juara.
KUMPULAN Gerini Tari muncul juara dalam tarian kreatif terbuka.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *