BAF: Pereka fesyen tampilkan rekaan Borneo Olumis muncul juara

FOTO: PETRUS (kanan) bergambar dengan hadiah yang dimenangi olehnya bersama model disampingnya yang memperagakan rekaan fesyen Borneo Olumis.

2 Oktober 2017

LABUAN – Pereka fesyen, Petrus Boyd Pensin muncul juara dalam Pertandingan Rekaan Fesyen Tradisional Malaysia Kontemporari sempena Borneo Arts Festival 2017 yang diadakan di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan kelmarin.

Petrus yang berasal dari Inanam menampilkan rekaan fesyen pakaiannya yang berkonsepkan Borneo Olumis dari suku Dusun Tindal untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Naib johan pula disandang oleh Affendy@Didie yang mereka fesyen The Menoras dari Kelantan dan tempat ketiga dimenangi oleh pereka fesyen Bruno George Sadiwa dengan rekaan Sunduvan Do Nuhu (The Forgotten Maiden) dari suku kaum Murut.

Affendy dan Bruno masing-masing menerima wang tunai bernilai RM2,000 dan RM1,500. Kedua mereka turut menerima trofi dan sijil penyertaan setiap seorang. 

Sejumlah 15 pereka fesyen turut serta didalam pertandingan rekaan fesyen ini.

Sementara itu, dalam pertandingan Doodle Art bagi kategori remaja yang diadakan pada 30 September, Andre John menggondol tempat pertama.

Tempat kedua dan ketiga, masing-masing dimenangi oleh Winnie Lim Jing Ai dan Wahyuni Ismail.

Pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, RM700 dan RM500.

Manakala, dalam kategori terbuka, Murnie Liana Rahim muncul johan dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,500.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Jaini Abdul Ghani dan Josrie Haral dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000 dan RM800 setiap seorang.

Bagi pertandingan selfie pula, ianya dimenangi oleh Stefanus Nobidin, dimana beliau menerima wang tunai bernilai RM300.

Hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan, Azhar Ahmad.

MURNIE (kanan) menerima hadiah dari Rozman. Turut kelihatan ialah Azhar (kiri).
ANDRE (kanan) menerima hadiah Doodle Art bagi kategori remaja.
PEMENANG tempat pertama bagi pertandingan selfie, Stefanus (kanan).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *