Sejumlah RM11 juta bantuan zakat diagihkan di Labuan pada tahun lalu

FOTO: CHE MAT (tengah), Ahmad (kiri) dan pengurus besar operasi PPZ MAIWP, Mohammed Hassan (kanan) kelihatan setelah kaunter bergerak PPZ MAIWP (belakang) dilancarkan di Labuan. 

11 Oktober 2017

LABUAN – Sejumlah 2,000 penerima zakat di sini telah berdaftar dengan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan setakat ini.

Pengurus Baitulmal MAIWP Labuan, Ahmad Saifuddin berkata, penerima tersebut merupakan asnaf yang menerima bantuan secara tetap pada setiap bulan.

“Jumlah penerima seramai 2,000 orang itu menerima lebih kurang RM6 juta setahun. Pada akhir bulan ini, pihak MAIWP akan melancarkan agihan kepada pelajar sekolah seramai 2,800 penerima di seluruh Labuan.

“Agihan tersebut merangkumi bantuan kelengkapan sekolah seperti pakaian, kasut, beg dan sebagainya,” katanya dalam Seminar Zakat anjuran PPZ-MAIWP Labuan yang diadakan di Dorsett Grand Labuan kelmarin.

Beliau berkata lanjut, jumlah pembayar zakat di Labuan perlu dipertingkatkan agar lebih ramai yang boleh menerima manfaat zakat tersebut di sini.

“Pada awalnya, hanya terdapat 10 skim bantuan zakat. Sekarang, sudah dibuka kepada 28 skim bantuan merangkumi mereka yang masih bersekolah di sekolah rendah, menengah hinggalah ke peringkat universiti.

“Orang yang hendak menikah juga kita bantu melalui skim yang sedia ada. Namun, jika kutipan zakat merosot, kita akan utamakan golongan fakir miskin.

“Jika terdapat lebihan, baharulah kita akan gunakan untuk membina masjid, menganjurkan program agama dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut mengulas bahawa pembayaran zakat haruslah diberikan kepada pihak Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Labuan agar lebih ramai yang mendapat manfaat dari pembayaran tersebut secara adil.

Manakala, pihak Baitulmal di sini telah mengagihkan lebih kurang sejumlah RM11 juta bantuan zakat pada tahun lalu kepada asnaf di Labuan.

Dalam seminar itu, anugerah turut diberikan kepada muzakki pilihan, Asiran Jamal iaitu seorang nelayan berasal dari Kampung Lubok Temiang.

Asiran diwakili oleh isterinya untuk menerima anugerah tersebut.

Turut hadir dalam seminar itu ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, pengerusi PPZ MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali, Ustaz Fauzi Mustafa dan Man Raja Lawak.

Selain itu, Forum Perdana bertajuk ‘Keluarga Sakinah’ turut diadakan semalam di Dewan Kuliah Utama Institut Latihan Perindustrian Labuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *