Fatwa Negeri Sabah: Umat Islam boleh ucap ‘Merry Christmas’

6 November 2017

LABUAN – Umat Islam di Negeri Sabah boleh mengucapkan ucapan ‘Merry Christmas’ kepada mereka yang merayakan sambutan tersebut dengan tujuan sekadar berbudi bahasa dengan masyarakat Kristian di Sabah.

Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samaha Datuk Ustaz Bongsu@Aziz Jaafar berkata, fatwa membenarkan umat Islam di Sabah untuk mengucapkan ucapan tersebut dikeluarkan dengan mengambil kira keadaan masyarakat di negeri tersebut.

“Fatwa tersebut bukanlah untuk merayakan hari kebesaran agama mereka termasuklah dengan mengirim sebarang simbol perayaan mereka melalui kad, whatsapp dan sebagainya. Tetapi, cukup dengan sekadar menulis ucapan perayaan tersebut.

“Umat Islam di Sabah juga boleh menjawab salam yang diucapkan oleh bukan Islam dengan ucapan “Wa’alaikumussalam” atau “Wa’alaikum”.

“Namun, perkataan ‘Warahmatullah” dan “Wabarakatuh” dikhususkan hanya untuk orang Islam,” katanya dalam ceramah sempena solat hajat untuk pelajar yang bakal menduduki SPM dan STPM yang diadakan di Masjid Jamek An-Nuur sini pada Jumaat lalu.

Hubungan antara umat Islam dan bukan Islam terutamanya Kristian di Sabah tidak boleh dipisahkan atas faktor kekeluargaan.

Perkahwinan campur antara agama dan bangsa lain di Sabah adalah perkara biasa yang sudah tentunya mewujudkan kepelbagaian agama dalam sesebuah keluarga sejak sekian lamanya.

Selanjutnya, beliau mengongsikan pengalaman beliau sebagai pelajar madrasah yang akhirnya berjaya untuk mengembara ke serata dunia untuk menuntut ilmu termasuklah ke timur tengah dan eropah sebagai inspirasi kepada pelajar yang hadir ke ceramah tersebut.

Selain itu, beliau menjelaskan umat Islam tidak seharusnya menolak teknologi seperti aplikasi youtube kerana mereka boleh mendengar ceramah agama melaluinya.

“Selepas mendengar ceramah melalui youtube itu. Kita boleh ‘rectify’ perkara tersebut dengan mereka yang ahli,” jelas beliau.

Beliau kemudiannya menyeru kepada pelajar untuk berusaha keluar negara terutamanya ke barat untuk mengambil ilmu serta belajar budaya positif mereka terutamanya kesedaran sivik yang tinggi untuk diaplikasikan di dalam negara.

“Kita ambil perkara yang baik dari mereka untuk manfaat negara kita,” katanya.

Namun, beliau menekankan ilmu fardhu ain perlu diperkukuhkan disamping fardhu kifayah demi kemaslahatan ummah dan negara ini.

Turut hadir dalam ceramah dan solat hajat tersebut ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, Senator Datuk Bashir Alias dan pengarah Jabatan Pendidikan Labuan, Raisin Saidin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *