Nelayan hilang di perairan Tanjung Aru, Menumbok masih belum ditemui

FOTO: PIHAK APMM Labuan bersama nelayan tempatan masih mencari mangsa.

1 November 2017

MENUMBOK – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat tehadap seorang mangsa lelaki berumur 51 tahun yang dikhuatiri lemas di perairan pantai Tanjung Aru Menumbok pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, bilik operasi maritim Labuan telah menerima laporan tersebut pada jam 9.45 malam semalam daripada balai polis Menumbok.

“Mangsa yang dikenali sebagai Ag Tahir Daud dilaporkan membuat kerja baik pulih di kelong yang berada lebih kurang satu batu nautika dari pantai.

“Mangsa dipercayai cuba untuk berenang ke arah bot yang terlepas ikatan tali dari kelong sebelum mangsa hilang dibawa arus,” katanya.

Beliau berkata lanjut, pihak mereka telah mengarahkan sebuah kapal dan dua buah bot peronda APMM untuk melaksanakan operasi itu pada awal pagi tadi bersama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu, Polis Marin Labuan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan nelayan tempatan.

Setakat ini usaha pencarian masih diteruskan dan mangsa masih belum ditemui.

“APMM Daerah Maritim Labuan mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang melibatkan pemancing bot kecil dan bot nelayan.

“Justeru, pihak APMM Labuan mengharapkan kerjasama dari orang ramai supaya membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Komuniti maritim khususnya disarankan agar merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa sebelum turun ke laut,” kata Nor Bakari.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi talian 24 jam MERS 999 dan pusat operasi APMM Labuan pada talian 087-427999.

KELONG tempat mangsa melakukan kerja baik pulih sebelum hilang dibawa arus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *