Pita magnetik hilang, CIMB tingkatkan keselamatan

14 November 2017

KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) memaklumkan bahawa beberapa pita magnetik yang mengandungi maklumat sandaran telah hilang di dalam perjalanan semasa satu operasi rutin.

Sesetengah pita tersebut mengandungi maklumat tertentu pelanggan CIMB Bank dan anak syarikatnya.

Berikutan siasatan menyeluruh dan terperinci, pihak bank mendapati tiada bukti bahawa maklumat tersebut telah dikompromi sama sekali.

Pita tersebut tidak mengandungi sebarang maklumat pengesahan peribadi seperti nombor PIN, kata laluan mahupun nombor CVV kad kredit.

Pihak Bank memilih untuk mengambil langkah konservatif dalam menitikberatkan keselamatan dan perlindungan data dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa serta melipatgandakan usaha untuk melindungi kepentingan pelanggan.

Oleh kerana pita tersebut mengandungi data sandaran, maklumat pelanggan masih lagi bersama CIMB.

Berikutan insiden ini, CIMB telah mempertingkatkan lagi langkah keselamatan di semua saluran termasuk memberhentikan sementara beberapa perkhidmatan melalui telefon seperti penukaran alamat, nombor telefon, e-mel bagi kad debit atau kredit, pemindahan wang atau urusan pembayaran tanpa T-PIN dan permintaan T-PIN baru.

Buat masa ini, tiada apa-apa langkah yang perlu diambil oleh pihak pelanggan.

Walau bagaimanapun, CIMB menyarankan agar pelanggannya sentiasa berwaspada dan jika curiga, sila rujuk saluran maklumat rasmi CIMB sama ada melalui laman web utama, pusat panggilan perkhidmatan atau cawangannya di seluruh negara.

“Kami mengambil berat akan tanggungjawab kami terhadap pelanggan dan yakin bahawa langkah tambahan ini akan terus memelihara keselamatan transaksi pelanggan kami.

Walaupun ini adalah satu insiden terpencil, kami telah mengkaji semula dan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan serta memperbaiki proses kami untuk memastikan ianya tidak berulang,” kata Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz, Ketua Eksekutif Kumpulan, CIMB Group.

“Kami juga memohon maaf jika peningkatan tahap dan langkah keselamatan buat masa ini menyulitkan pelanggan.

“Kami kini sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menangani sebarang risiko susulan dari insiden ini,” kata Zafrul.

Pelanggan yang memerlukan maklumat selanjutnya boleh memanggil nombor berikut:

+60 3 6204 7788 
+60 3 6204 7799 
1300 88 5300 
1300 88 8828
1300 88 8068

Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui cawangan CIMB atau pada halaman web www.cimbbank.com.my atau www.cimb-bizchannel.com.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *