Seorang mangsa hilang dalam pelanggaran bot di Tambisan, Sandakan

FOTO: KELIHATAN anggota APMM dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa hari ini.

9 November 2017

SANDAKAN – Dua cedera manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas kejadian dua buah bot berlanggar di perairan Tambisan sini semalam.

Dalam kejadian tersebut, sebuah bot yang dikemudi oleh Zamazi Zakaria berumur 31 tahun telah dilanggar oleh sebuah bot lain dari arah lain yang dikemudi oleh Mohamad Yazer yang berumur 11 tahun bersama dua lagi rakannya iaitu Asraf Jalani dan Abu Sabri Jalani yang masing-masing berumur 16 dan 18 tahun.

“Zamazi yang tidak mengalami kecederaan telah membawa mangsa yang cedera iaitu Mohamad Yazer dan Asraf Jalani ke Klinik Tambisan. Manakala, Abu Sabri Jalani masih belum ditemui.

Kedua buah bot tersebut dikatakan sedang dalam perjalanan dari Pulau Tambisan menuju ke Tambisan Darat,” kata jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah.

Salah seorang rakan mangsa telah menghubungi Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Wilayah Sabah dan Labuan untuk memaklumkan mengenai perkara tersebut pada jam 9 malam semalam, dimana operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan pada pukul 10.55 malam.

Aset yang terlibat dalam operasi ini ialah sebuah kapal dan sebuah bot daripada Maritim Malaysia, sebuah bot PPM, sebuah kapal TLDM, dua buah bot bomba dan lima buah bot penduduk kampung merangkumi kawasan seluas radius lima batu nautika.

Anggota Maritim Malaysia dari Pangkalan Maritim Lahad Datu telah menubuhkan bilik gerakan sementara di lokasi kejadian bagi memantau sepanjang operasi SAR dijalankan.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid mengingatkan orang ramai agar segera menyalurkan sebarang aduan atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Daerah Maritim Sandakan pada talian 089-229504 atau talian MERS 999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *