Dua pusat ‘judi’ diserbu di Bandar Labuan, 28 orang ditahan

FOTO: KELIHATAN anggota polis memeriksa pusat hiburan tersebut. 

16 November 2017

LABUAN – Dua pusat hiburan keluarga di sekitar Bandar Labuan diserbu pada Selasa lalu kerana menjalankan aktiviti perjudian.

Ketua Polis Daerah Labuan, ACP Adzhar Othman berkata, sejumlah enam pekerja tempatan termasuk seorang wanita di premis terbabit yang berumur antara 19 hingga 23 tahun ditahan dalam serbuan itu.

“Kita telah menerima aduan dari orang awam mengenai aktiviti kedua premis tersebut, dimana pegawai dan anggota polis telah membuat pemeriksaan di premis berkenaan pada jam 9.20 malam.

“Turut ditangkap dalam serbuan itu ialah 22 orang pengunjung tempatan termasuk seorang perempuan yang berumur antara 22 hingga 62 tahun.

“Kesemua yang ditangkap telah dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu ialah 38 unit komputer yang telah diubahsuai, 32 unit mesin simulator, 366 keping kupon sebagai token dan wang tunai bernilai RM9,470.

Jumlah anggaran nilai rampasan ialah RM270,000.

Adzhar menjelaskan kesemua mereka yang ditangkap telah dibawa ke mahkamah Majistret Labuan untuk  permohonan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, dimana mereka direman bermula kelmarin hingga 18 November ini.

“Kedua pusat hiburan keluarga (PHK) yang diserbu itu mempunyai lesen operasi yang sah, tetapi,  operasinya telah diubah kepada aktiviti  perjudian.

“Pihak polis Labuan akan terus membuat pemantauan rapi bagi  memastikan tiada kegiatan judi seperti ini beroperasi di Labuan yang bertopengkan pusat hiburan keluarga,” katanya.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang jika sabit kesalahan pemilik premis boleh dihukum denda sehingga RM10,000 bagi setiap mesin judi atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

ANTARA mesin judi yang dirampas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *