Ketangkasan ibu, selamatkan anak dalam insiden kebakaran di Pulau Buah

FOTO: ANGGOTA bomba dan penyelamat memadamkan kebakaran pada rumah tersebut.

23 November 2017

LABUAN – Ketangkasan seorang ibu ,41, berjaya menyelamatkan dirinya dan anak perempuannya yang berumur setahun empat bulan dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Taman Guan Huat, Pulau Buah sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal@Zainal Madasin berkata, bilik gerakan operasi mereka telah menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 12.23 tengah hari tadi.

“Ketika kejadian tersebut berlaku, si ibu sedang tidur pada tingkat atas rumah terbabit. Manakala, anak perempuannya juga berada di tingkat atas, tetapi dalam bilik yang berasingan. Ibu tersebut hanya tersedar terdapat kebakaran di tingkat bawah rumah berkenaan setelah terhidu asap tebal.

“Beliau lantas bergegas ke bilik anak perempuannya itu lalu membawanya keluar dari rumah untuk memastikan kedua mereka selamat.

“Pada masa yang sama, bapa mertua kepada ibu tersebut yang sedang berada di sekitar luar rumah berkenaan itu terus masuk ke dalam rumah setelah menyedari berlaku kebakaran untuk memadam api sehinggalah ketibaan anggota bomba dan penyelamat ke sana,” katanya.

Beliau berkata lanjut, ketiga mangsa iaitu si ibu, anak perempuan dan bapa mertuanya dihantar ke Hospital Labuan untuk menerima rawatan lanjut.

“Si ibu mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal. Manakala, anak perempuan dan bapa mertuanya dalam keadaan yang normal.

“Kedua anak dan bapa mertuanya itu dihantar ke hospital untuk pemantauan kerana kedua mereka juga terhidu asap tebal,” katanya.

Sementara itu, suami ,48, kepada ibu tersebut tidak berada di rumah pada masa kejadian kerana bekerja.

Sejumlah 17 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Labuan dan Kampung Jawa terlibat didalam operasi memadam kebakaran ini yang tamat pada jam 12.47 tengah hari.

JAINAL (kiri) melawat anak perempuan yang terkesan dengan insiden kebakaran itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *