Tiga puluh ahli pengakap Labuan diuji

FOTO: MOHD ALIAS (berdiri lapan kiri) bergambar bersama dengan peserta program yang lulus dalam ujian mereka.

29 November 2017

LABUAN: Seramai 24 ahli dan enam pemimpin pengakap dari SMK Labuan dan SMK Mutiara turut serta dalam Perkhemahan Ujian Lencana Kemajuan dan Kepandaian yang telah dianjurkan di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Pagar sini baru-baru ini.

Jurucakap program, Skip Atiqah Syahidah Abdul Rahman berkata, objektif kursus itu ialah untuk menguji peserta bagi memperolehi Lencana Usaha, Maju dan Jaya yakni lencana kemajuan peringkat pertama, kedua dan terakhir dalam skim latihan Pengakap Muda.

“Sepanjang dua hari perkhemahan ini, mereka telah diuji dalam pelbagai kemahiran termasuk ekspedisi berkumpulan, mendaki bukit, kemahiran simpulan dan ikatan, ikhtiar hidup, pengembaraan dan persembahan pentas.

“Semua perserta pengakap perlu lulus dalam semua cabaran ini untuk layak dianugerahkan sama ada Lencana Usaha, Maju atau Jaya.

“Disamping itu, program perkhemahan ini juga bertujuan untuk memupuk semangat persaudaraan dan melatih daya juang serta ketahanan yang tinggi dikalangan peserta,” katanya.

Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan telah dijemput selaku penguji bagi perkhemahan ini.

Majlis perasmian penutup program itu telah disempurnakan oleh penolong kanan ko-kurikulum, Cheah Teong Aik.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri, Datuk Seri Mohd Alias Abdul Rahman, Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Skip Rosni Mohd Daud dan Skip Ivy Lee.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *