MAIWP Labuan juara dalam kategori sepanduk dan perarakan

FOTO: ROZMAN (lima kiri), Bashir (enam kiri) dan Azhar (empat kiri) kelihatan bersama dengan barisan pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat ketika mengetuai perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul di Dataran Labuan.

4 Disember 2017

LABUAN – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan muncul juara dalam kedua kategori pertandingan sepanduk dan perarakan untuk kontinjen jabatan kerajaan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1439H yang diadakan di sini pada 1 Disember yang lalu.

Enam kontinjen melibatkan kampung, jabatan kerajaan, sekolah rendah agama islam (SRAI), sekolah menengah atau institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) dan pasukan beruniform dipertandingkan dalam kategori sepanduk dan perarakan dalam sambutan ini.

Dalam pertandingan sepanduk, juara bagi kontinjen kampung, SRAI, IPT, swasta dan pasukan beruniform masing-masing dimenangi oleh Kampung Kilan, SRAI Nuruttaqwa Rancha-Rancha, UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Asian Supply Base Sdn Bhd dan Pusat Koreksional Labuan.

Manakala, dalam pertandingan perarakan pula, juara bagi kontinjen kampung, SRAI, sekolah, NGO dan pasukan beruniform masing-masing dimenangi oleh Kampung Pohon Batu, SRAI Membedai, SMK Labuan, Persatuan Ibu Tunggal Labuan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan.

Tempat pertama, kedua dan ketiga dalam pertandingan sepanduk dan perarakan masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM800, RM600 dan RM500 serta sijil penghargaan.

Sementara itu, Tokoh Maulidur Rasul pada tahun ini dianugerahkan kepada bekas Senator Datuk Yunus Kurus, dimana beliau telah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, sijil penghargaan dan plak.

Hadir untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Turut hadir ialah Senator Datuk Bashir Alias dan ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan, Azhar Ahmad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *