Pasangan suami isteri selamat dalam insiden kereta terbakar di Pulau Buah

FOTO: ANGGOTA bomba dan penyelamat memeriksa keadaan kereta tersebut setelah api berjaya dipadam.

3 Disember 2017

LABUAN – Sepasang suami isteri berumur dalam lingkungan 40-an terselamat dalam kejadian kebakaran apabila kereta Toyota Vios yang dinaiki oleh mereka terbakar di Jalan Pulau Buah kelmarin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal@Zainal Madasin berkata, insiden tersebut berlaku pada sekitar jam 9.27 malam.

“Ketika anggota kami tiba di lokasi kejadian, kereta tersebut telah terbakar sebanyak 90 peratus. Pasangan suami isteri tersebut dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Jalan Pohon Batu.

“Semasa dalam perjalanan, kenderaan mereka secara tiba-tiba mengeluarkan asap dan seterusnya terbakar. Namun, pasangan suami isteri itu sempat keluar untuk menyelamatkan diri.

“Operasi memadam kebakaran pada kenderaan terbabit selesai sepenuhnya pada 9.49 malam,” katanya.

Sementara itu, punca kejadian kebakaran kereta itu masih dalam siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *