APMM selamatkan mangsa melecur di Pulau Papan

FOTO: MANGSA melecur terbabit dibawa oleh bot peronda APMM ke Jeti APMM Labuan untuk dihantar ke Hospital Labuan.

10 Disember 2017

LABUAN – Seorang mangsa lelaki tempatan berumur 37 tahun melecur pada bahagian badannya akibat kebakaran enjin bot di Pulau Papan sini pagi tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, bilik operasi mereka telah menerima laporan berkenaan insiden tersebut pada jam 7.40 pagi untuk memohon bantuan bagi memindahkan mangsa dari Pulau Papan ke Hospital Labuan.

“Bot peronda yang sedang beroperasi telah diarahkan untuk membawa mangsa ke Jeti APMM Labuan sejurus menerima laporan itu,” katanya.

Mangsa terbabit dikenali sebagai Abang Jaffaruddin Mohamad dilaporkan sedang menghidupkan enjin bot sebelum enjin tersebut terbakar dan menyambar badan mangsa.

Punca kejadian itu dipercayai daripada kebocoran minyak dan lintar pintas.

Bot peronda maritim tiba di Jeti APMM Labuan bersama mangsa pada jam lebih kurang 8.55 pagi dan seterusnya dibawa ke Hospital Nukleus Labuan dengan menggunakan ambulan untuk rawatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *