Empat pemancing dari Labuan diselamatkan di Pulau Tiga

FOTO: SALAH seorang mangsa (dua kiri) bersalaman dengan pegawai APMM Labuan. Turut kelihatan ialah pegawai APMM Labuan dan mangsa lain dalam kejadian itu.

11 Disember 2017

LABUAN – Empat pemancing yang hanyut di Pulau Tiga kerana kerosakan enjin pada bot mereka telah diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan semalam.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, sebelum itu bilik operasi mereka telah menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11 pagi dari pihak bomba dan rakan mangsa.

“Sebuah bot peronda telah diarahkan untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) sejurus mendapat laporan tersebut.

“Walau bagaimanapun, keadaan laut yang bergelora memaksa bot ronda maritim berpatah balik ke Jeti APMM Labuan dan operasi mengesan bot yang hanyut itu diteruskan dengan menggunakan sebuah kapal peronda maritim.

“Usaha operasi carilamat bot tersebut berjaya apabila kapal ronda maritim mengesan sebuah bot berwarna biru putih sedang terapung bersama empat orang pemancing pada kedudukan kira-kira 15 batu nautika utara Tanjung Kubong Labuan pada jam lebih kurang 6.50 petang,” katanya.

Semua mangsa yang ditemui iaitu Ali@Charlie M. Yusoff ,62, Wilfred Balang Singa ,38, Jamhari Bujang ,54, dan Amir Ahmad Astor ,33, berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan keletihan.

Menurut salah seorang mangsa, mereka keluar ke laut untuk memancing pada 9 Disember lalu, jam lebih kurang 4.10 petang.

Ketika sedang memancing pada malam tersebut, bot mereka hanyut disebabkan hujan lebat dan ombak besar, dimana ianya memaksa mereka untuk melabuhkan sauh bagi mengelakkan daripada hanyut jauh ke tengah laut.

Namun, tali yang diikat pada sauh tersebut putus dan mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Labuan pada 6 pagi semalam.

Dalam perjalanan pulang ke Labuan, tiba-tiba engin bot mereka rosak dan bot tersebut hanyut sehingga mereka ditemui oleh kapal peronda maritim pada jam 6.50 petang.

Bot bersama mangsa seterusnya dibawa ke Jeti APMM Labuan. Walau bagamanapun, usaha untuk menunda bot tersebut gagal apabila bot itu tenggelam ketika sedang ditunda kerana dimasuki air laut berikutan laut yang bergelora.

APMM Daerah Maritim Labuan mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang melibatkan pemancing bot kecil dan bot nelayan.

Justeru itu, pihak APMM Labuan mengharapkan kerjasama dari orang ramai supaya membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Komuniti maritim khususnya disarankan agar merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa sebelum turun ke laut.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan pada talian 24 jam MERS 999 dan pada pusat operasi maritim Labuan pada talian 087-427999.

BOT tersebut yang akhirnya karam kerana laut yang bergelora.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *