Empat bot pam ditahan di Karambunai

FOTO: KEEMPAT bot pam yang ditahan oleh APMM.

2 Januari 2018

KOTA KINABALU – Empat bot pam disyaki terlibat dengan aktiviti pengeboman ikan di Teluk Karambunai sini telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam.

Pengarah APMM Daerah Maritim 15 Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim Adam Aziz berkata, bot berkenaan berjaya ditahan kira-kira pada jam 2.05 petang semalam.

“APMM Kota Kinabalu telah menerima maklumat dari orang awam mengenai aktiviti tersebut 10 minit sebelum keempat bot itu ditahan, dimana Bot Kilat 39 yang sedang beroperasi telah diarahkan menuju ke tempat kejadian.

“Semasa bot ronda APMM cuba menghampiri dan memintas, keempat bot berkenaan memecut laju dan melarikan diri masuk ke kawasan pesisir pantai yang berbatu di Teluk Karambunai. Manakala, sebuah bot sampan yang menggunakan enjin sangkut melarikan diri ke arah yang berlainan.

Kesemua awak-awak terjun ke laut dan berlari ke arah hutan dan berjaya meloloskan diri,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai jenis ikan dianggarkan seberat 30 kilogram berada dalam keempat bot pam itu.

Kesemua bot itu kemudiannya dirampas dan akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana dipercayai menangkap ikan menggunakan kaedah bom.

APMM memandang serius terhadap aktiviti pengeboman ikan.

Aktiviti pengeboman ikan ini adalah salah di sisi undang–undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam aktiviti ini.

Sehubungan itu, Adam memohon komuniti maritim khususnya di daerah ini agar terus memberikan maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan bagi memastikan perairan bebas daripada sebarang aktiviti jenayah khususnya yang membabitkan pengeboman ikan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan ke bilik operasi 24 jam melalui talian 088-387845 atau MERS 999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *