Pulau Tiga: APMM cari pemancing hilang sejak 9 Januari lalu

12 Januari 2018

KOTA KINABALU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan memohon bantuan komuniti maritim di sekitar perairan Pulau Tiga Sabah untuk mengesan seorang pemancing yang dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak petang 9 Januari yang lalu.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Dato’ Mohd Zubil Mat Som berkata, pihak mereka telah menerima panggilan daripada pasukan gerakan polis marin untuk memaklumkan perkara tersebut.

“Mangsa yang dikenal pasti sebagai Abdul Molah Mansol (gambar) berumur 46 tahun dan dipercayai berasal dari Pulau Gaya telah keluar memancing sekitar jam 5.30 pagi pada tarikh beliau dilaporkan hilang.

“Sejurus menerima laporan itu, kita telah mengarahkan anggota kita untuk melakukan pencarian berhampiran lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang iaitu pada kedudukan 10 batu nautika barat laut Pulau Sulug. Namun, sehingga kini mangsa serta bot pam yang dinaikinya masih belum ditemui.

“Operasi pencarian mangsa diperluaskan pada hari kelmarin dengan meliputi kawasan perairan sehingga ke perairan Pulau Tiga yang merangkumi keluasan pencarian 50 batu nautika persegi,” katanya.

Beliau berkata lanjut, kekuatan aset juga telah ditambah dengan penglibatan dua buah kapal APMM iaitu KM Bistari dan KM Memmon.

Sebuah bot daripada Taman-Taman Sabah dan dua buah bot nelayan turut terlibat didalam usaha mencari dan menyelamat ini.

Bot pam yang dilaporkan hilang itu berwarna putih, merah dan hitam dengan ukuran panjang sekitar 12 kaki dan lebar lebih kurang tiga kaki.

Manakala, mangsa dikatakan memakai seluar panjang berwarna biru sewaktu keluar memancing pada hari mangsa dilaporkan hilang.

Mohd Zubil menasihatkan komuniti maritim, persatuan nelayan, persatuan memancing serta individu agar lebih berhati-hati ketika ke laut.

Ini berikutan keadaan cuaca pada waktu ini tidak menentu dan ombak dijangka boleh mencapai setinggi empat meter dengan kelajuan angin dijangka boleh mencapai 50 km sejam di sekitar perairan Barat Sabah serta perairan Labuan.

Beliau juga meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kehilangan mangsa berkenaan agar memaklumkan kepada bilik operasi 24 jam APMM Kota Kinabalu pada talian 088-387845 atau MERS 999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *