Sarawak bakal menjadi pengeksport utama nanas MD2

16 Januari 2018

BAU, SARAWAK – Industri nanas Sarawak bakal mengalami perubahan yang drastik dengan kemasukan benih nanas varieti premium MD2 serta penggunaan teknologi penanaman dan amalan pertanian terkini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Sarawak akan menjadi hab pengeksportan nanas premium negara pada tahun 2020 dengan kemasukan benih MD2 bagi tujuan penanaman untuk menampung permintaan yang sedang meningkat terutamanya bagi pasaran luar negara dengan sasaran keluasan tanaman nanas seluas 3,500 hektar pada tahun 2020 dimana 827 hektar daripada jumlah tersebut adalah varieti MD2.

“Sarawak merupakan negeri yang berpotensi besar untuk dimajukan dengan tanaman tersebut memandangkan faktor ketersediaan tanah yang lebih luas, kos tenaga buruh yang lebih rendah serta faktor jarak penghantaran yang lebih dekat ke negara China.

“Dengan peruntukan yang diterima dari kerajaan pusat dan negeri, sektor industri nanas negeri ini akan dapat memberi manafaat kepada para pengusaha terutamanya pekebun kecil.

“Kita ucapkan terima kasih kepada pihak kementerian pertanian dan industri asas tani yang telah memperuntukkan sejumlah RM6.5 juta pada tahun ini bagi pembangunan sektor nanas termasuk varieti premium,” katanya.

Beliau berkata lanjut, melalui Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), diharapkan agensi itu akan terus membantu pengusaha dan pekebun nanas bagi meningkatkan pendapatan mereka kepada RM4,000 sebulan. Manakala, RM5,000 sebulan bagi varieti premium MD2.

Beliau yang juga merupakan menteri pemodenan pertanian, tanah adat dan pembangunan wilayah turut berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Sarawak telah menerima peruntukan sebanyak RM25 juta bagi pembangunan industri nanas untuk tempoh tahun 2016 hingga 2020.

Beliau hadir bagi merasmikan Majlis Pelancaran Projek Perintis Tanaman Nanas Premium Negeri Sarawak di Kampung Padang Pan Bau.

Sebanyak RM300,000 diperuntukan bagi pembangunan projek ini dengan keluasan empat hektar yang bertujuan untuk menjadi pusat pengeluaran benih MD2 di Sarawak.

Turut hadir ialah timbalan menteri pertanian dan industri asas tani, Dato’ Nogeh Gumbek, pengerusi LPNM, Datuk Samsolbari Jamali dan timbalan ketua setiausaha (dasar) kementerian pertanian dan industri asas tani, Dato’ Salehhuddin Hassan. – Bernama

Foto: pixabay

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *