Lelaki Filipina maut dalam kemalangan di Layang-Layangan

16 Januari 2018

LABUAN – Seorang lelaki Filipina berumur 40 tahun maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku pada jam 1.30 petang tadi di Layang-Layangan apabila lori 10 tan yang dinaikinya terbabas lalu merempuh pokok di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superinteden Muhamad Farid Ahmad berkata, mangsa tersebut dikenali sebagai Jojo dikalangan rakan sekerjanya duduk pada kerusi penumpang lori berkenaan.

“Mangsa yang tersepit itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan setelah mengalami kecederaan parah, dimana lori tersebut dipandu oleh rakan sekerjanya yang berumur 37 tahun iaitu seorang lelaki tempatan.

“Sementara itu, pemandu lori berkenaan turut cedera iaitu patah kaki kanan dan turut tersepit. Siasatan awal mendapati lori tersebut bergerak menuju ke Merinding melalui Jalan Layang-Layangan.

“Ketika lori tersebut tiba pada kawasan selekoh, brek lori berkenaan tidak berfungsi dengan baik yang menyebabkan lori itu terbabas ke tepi jalan,” katanya.

Pemandu lori berkenaan telah dibawa ke Hospital Labuan untuk mendapatkan rawatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *