Jambatan Labuan-Sabah sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo – Najib

FOTO: TENGKU Adnan (dua kiri) menyerahkan surat lantikan kepada ketua pegawai eksekutif HSS Integrated Sdn. Bhd, Datuk Ir. B. Nitchiananthan selaku konsultan kajian pembinaan Jambatan Labuan-Sabah sambil diperhatikan oleh Najib (tiga kiri), Abdul Rahman (kanan), Raymond (kiri) dan Rozman (dua kanan).

18 Januari 2018

LABUAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kajian pembinaan Jambatan Labuan-Sabah bukanlah kajian kebolehlaksanaan (feasibility) tetapi adalah kajian mengenai kaedah pelaksanaan pembinaan jambatan tersebut sebagaimana yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan.

Dalam ucapannya pada pagi tadi, beliau berkata, pembinaan jambatan tersebut kelak merupakan sebahagian daripada projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

“Cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Tanah Besar Sabah adalah projek yang berimpak tinggi. Walaupun, ada yang berkata berdasarkan kos pembinaan jambatan tersebut tidak menguntungkan. Namun, pihak kerajaan tidak hanya melihat kepada kadar pulangannya sahaja.

“Tetapi, kita melihat pembangunan secara keseluruhannya. Jika pembinaan jambatan itu menguntungkan penduduk Labuan dari segi ekonomi dan memudahkan pergerakan antara penduduk Labuan dan Sabah serta mampu menarik pelabur luar datang ke Labuan, maka, berbaloinya kita membina jambatan ini.

“Saya berharap kajian kaedah pelaksanaan pembinaan jambatan ini dapat dilaksanakan secepat yang mungkin,” katanya sebelum melancarkan Pelan Pembangunan Labuan 2030 di Dataran Labuan.

Beliau berkata lanjut, jika keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang menyebelahi kerajaan, beliau akan kembali lagi ke Labuan untuk merasmikan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah tersebut.

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan kos kajian kaedah pelaksanaan jambatan tersebut yang bernilai RM14.31 juta.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sememangnya berhasrat untuk menjadikan Labuan sebagai pulau yang berdaya maju, mapan dan pintar berdasarkan pelan pembangunan yang telah menggariskan beberapa projek pembangunan utama.

“Pelan Pembangunan Labuan ini bakal memacu ekonomi Labuan serta meningkatkan taraf hidup penduduknya. Kita terkesan dengan kemerosotan sektor minyak dan gas. Walaupun, terdapat pemulihan, tetapi, ianya tidak mungkin akan mencapai kembali paras seperti sebelum ini.

“Ekonomi di Labuan perlu dipelbagaikan agar ianya terus maju seiring dengan kemajuan negara,” katanya dan menambah pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) terhutang budi dengan rakyat di Labuan, dimana Labuan merupakan kubu kuat bagi BN.

Najib turut berharap agar pelan pembangunan tersebut dapat mengenal pasti projek yang boleh menyumbang pertumbuhan positif terhadap ekonomi Labuan.

Dalam majlis pelancaran itu, Najib turut menyaksikan penyerahan surat lantikan kepada konsultan yang akan melaksanakan kajian terhadap pelaksanaan Jambatan Labuan-Sabah iaitu HSS Integrated Sdn Bhd.

Hadir sama dalam majlis itu ialah menteri wilayah persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, timbalan ketua menteri Sabah, Datuk Raymond Tan dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *