Waktu pelayaran Labuan Ferry Corporation perlu segera diisi

21 Januari 2018

Pelayaran feri kenderaan pada jam 7.30 pagi dari Labuan ke Menumbok kini masih lagi belum diisi dan keperluan untuk perkhidmatan feri pada waktu tersebut dari Labuan ke Tanah Besar Sabah adalah sangat diperlukan.

Demikian juga, pelayaran pada jam 4.30 petang dari Menumbok ke Labuan yang juga belum diisi setelah lesen operasi Syarikat Labuan Ferry Corporation Sdn Bhd dibatalkan oleh kementerian pengangkutan pada 25 Oktober tahun lalu.

Selain dari kedua waktu pelayaran tersebut, waktu pelayaran lain dibawah kendalian syarikat tersebut dari Labuan ke Menumbok ialah pada jam 1.30 petang dan 7 malam. Manakala, dari Menumbok ke Labuan ialah pada jam 10.30 pagi dan 10 malam.

Kekosongan operasi perkhidmatan yang ditinggalkan oleh syarikat terbabit akan menyukarkan pengguna pada musim cuti sekolah atau perayaan disebabkan permintaan yang tinggi.

Seandainya pengguna tidak membeli lebih awal, maka, peluang untuk mendapatkan tiket ke Tanah Besar Sabah atau sebaliknya adalah tipis.

Namun demikian, sumber dari pihak feri kenderaan lain mengatakan, waktu operasi yang ditinggalkan oleh Labuan Ferry Corporation itu telah dimohon untuk diisi oleh pengusaha feri kenderaan yang sedia ada.

Cuma, proses kelulusan tersebut perlu dipercepatkan untuk kemudahan pengguna feri kenderaan di Labuan.

*Artikel di atas dihantar oleh salah seorang pengguna perkhidmatan feri kenderaan Labuan-Menumbok.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *