PAS Labuan lancar manifesto dan siap sedia hadapi PRU-14

FOTO: Hj. Mohamad Noor (duduk tiga kiri) dan Hamir (duduk tiga kanan) kelihatan bersama dengan ahli PAS Labuan setelah pelancaran manifesto 11 Tawaran Labuan Sejahtera.

22 Januari 2018

LABUAN – PAS Labuan telah bersiap sedia untuk menggempur pihak lawan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang bakal menjelang tiba setelah melancarkan manifesto mereka pada Sabtu lalu di sini.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hamir Zahari berkata, manifesto mereka dikenali sebagai 11 Tawaran Labuan Sejahtera yang menjadi perjuangan PAS Labuan dalam PRU pada kali ini.

“Salah satu tawaran dalam manifesto Labuan Sejahtera ialah meningkatkan martabat Islam di Labuan sepertimana yang telah termaktub dalam perjuangan PAS sejak parti ini mula ditubuhkan.

“Selain itu, satu yayasan khas yang dinamakan Yayasan Rakyat Labuan juga antara keutamaan PAS Labuan. Kita serius untuk melaksanakan yayasan ini apabila PAS Labuan memenangi kerusi Parlimen Labuan.

“Penubuhan yayasan ini agar nasib anak jati di Labuan mendapat satu taraf keistimewaan lahir di pulau bebas cukai ini,” katanya.

Hadir untuk melancarkan manifesto tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Hj. Mohamad Noor Mohamad, dimana PAS Labuan merupakan kawasan perama di wilayah persekutuan yang sudah melancarkan manifesto PRU-14.

Hamir berkata lanjut, satu siri jelajah penerangan secara berperingkat akan diadakan di seluruh Labuan untuk menerangkan dengan lebih jelas berkenaan dengan 11 Tawaran Labuan Sejahtera tersebut yang akan dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa PAS Labuan.

Sebelum pelancaran yang diadakan pada jam 2 petang itu, satu konvoi perarakan motosikal dan kereta berkibar bendera PAS yang disertai oleh anak muda dan ahli PAS sendiri telah diadakan di sekitar kawasan Labuan.

Sementara itu, PAS Labuan turut menyampaikan sijil keahlian PAS kepada ahli baharu di Kampung Kilan Kassim pada sebelah malam hari pelancaran manifesto tersebut.

Selain itu, PAS Labuan telah menyerahkan sumbangan kepada pengusaha teksi di Lapangan Terbang Labuan untuk meringankan beban operasi mereka pada keesokan harinya.

————————————————————————————————-

Poin dalam 11 Tawaran Labuan Sejahtera PAS Labuan:

1) Berusaha untuk meningkatkan kecemerlangan Islam.

2) Menubuhkan Yayasan Rakyat Labuan untuk anak Labuan.

3) Meningkatkan kualiti Hospital Labuan dengan dengan penambahan doktor pakar beserta kelengkapan perubatan moden.

4) Menggesa pelaksanaan sekolah agama berasrama penuh.

5) Memastikan ketelusan dalam pembinaan Jambatan Labuan-Sabah.

6) Menyalurkan bantuan secara telus kepada nelayan tempatan.

7) Menaiktaraf kawasan berpotensi sebagai kawasan pelancongan.

8) Mempelbagaikan barangan bebas cukai.

9) Rakyat berkelayakan memiliki sebuah unit rumah mampu milik bawah RM100,000.

10) Memansuhkan bayaran minimum air dan memberi subsidi 10 meter padu air ke setiap rumah.

11) Memastikan peluang pekerjaan dengan sasaran 50 peratus untuk anak tempatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *