Statistik 2017: Empat panggilan palsu diterima balai bomba dan penyelamat Labuan

FOTO: ABDUL RAHMAN (kiri) menyerahkan tugasnya kepada Wilfred (kanan) sambil disaksikan oleh Jainal (tengah).

23 Januari 2018

LABUAN – Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Jainal@Zainal Madasin berkata, sejumlah empat panggilan palsu telah direkodkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan pada tahun lalu.

Dalam ucapannya sempena majlis perbarisan tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia peringkat Labuan 2018, beliau berkata, statistik pada tahun lalu merekodkan sebanyak 720 panggilan kecemasan telah diterima.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah 163 kes melibatkan kebakaran dan selebihnya kes berkaitan penyelamatan dan khidmat kemanusiaan.

“Manakala, jumlah harta yang diselamatkan sekitar RM19.79 juta. Sementara, kerugian yang direkodkan ialah sekitar RM1.55 juta,” katanya, dimana majlis tersebut telah diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Kampung Jawa pagi tadi.

Beliau berkata lanjut, statistik pada tahun lalu juga merekodkan anggota bomba dan penyelamat telah menjalankan sebanyak 320 operasi menangkap ular dan memusnah serangga berbisa, 137 operasi melibatkan bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang serta 13 operasi melibatkan kemalangan jalan raya.

“Sepanjang kes kebakaran yang berlaku pada tahun lalu, seramai lapan mangsa berjaya diselamatkan dan tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

“Manakala, dalam kes kemalangan jalan raya, mangsa lemas dan khidmat kemanusiaan, sebanyak 30 mangsa diselamatkan dan seorang mangsa meninggal kerana lemas,” katanya.

Selain itu, Jainal berkata, dua projek yang diperuntukkan oleh kerajaan pada fasa pertama tahun ini dibawah Projek NBOS MyBeautiful Neighbourhood akan dilaksanakan iaitu membina semula rumah terbakar dan membaik pulih rumah rakyat Labuan yang tidak berkemampuan.

Dalam majlis yang sama, majlis serah tugas turut diadakan, dimana penguasa kanan bomba II, Abdul Rahman Ali menyerahkan tugas sebagai penolong pengarah penyiasatan kepada Kenneth Wilfred.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *