Kenapa netizen tidak optimis dengan Jambatan Labuan-Sabah?

27 Januari 2018

Melalui pemerhatian, sebahagian besar netizen di Wilayah Persekutuan Labuan nampaknya memilih untuk bersikap tidak optimis dengan cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah yang ditunggu-tunggu sejak sekian lamanya.

Walaupun kesungguhan pembinaan jambatan tersebut telah dimanifestasikan melalui pelancaran Pelan Pembangunan Labuan (Labuan Development Blueprint) 2018 yang disempurnakan oleh perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dataran Labuan pada 18 Januari baru-baru ini, namun, ianya tidak memberi impak yang besar kepada majoriti golongan netizen di Pulau Bebas Cukai Labuan.

Rata-rata mereka berpendapat bahawa pelancaran tersebut hanyalah ‘permainan politik’ atau ‘gimik’ semata-mata sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjelang tiba.

Antara persoalan yang dilontarkan oleh mereka ialah – Kenapa cadangan pembinaan jambatan tersebut dimasukkan dalam projek Lebuhraya Pan Borneo sedangkan projek tersebut hanya melibatkan Sabah dan Sarawak?

Ada juga netizen yang mengongsikan kisah pak cik yang bakal pencen pada tahun hadapan, dimana cadangan pembinaan jambatan itu telah mula beliau dengar sejak anaknya yang kedua bersekolah darjah empat.

Kini, anaknya yang kedua itu sudah mempunyai dua orang anak, namun, bayang-bayang pembinaan jambatan itu belum ada sehingga kini.

Selain itu, klip video pada tahun 2009 dahulu turut dikongsikan oleh netizen berkenaan cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah, dimana projek itu sepatutnya bakal dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Walau bagaimanapun, projek tersebut yang dianggarkan bernilai lebih dari RM1 billion pada ketika itu kemudiannya dibatalkan oleh pihak kerajaan.

Kemungkinan disebabkan oleh pengalaman lalu, dimana mereka merasa seringkali ‘dipermainkan’ menyebabkan kebanyakan netizen di Pulau Labuan mengambil ‘sikap dingin’ terhadap cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah.

Namun demikian, terdapat juga segelintir netizen yang menaruh harapan tinggi terhadap cadangan pembinaan Jambatan Labuan-Sabah tersebut.

Walau apa pun, barisan pemimpin di Labuan kelihatannya ‘serius’ didalam mahu melaksanakan cadangan pembinaan jambatan tersebut apatah lagi pada hari pelancaran Pelan Pembangunan Labuan 2018, menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU) negara turut hadir.

Pembinaan jambatan itu dilihat sebagai ‘game changer‘ untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi di Labuan.

Pemimpin di Labuan turut mendakwa, bahawa setelah kajian  pelaksanaan pembinaan jambatan itu diumumkan dalam Bajet 2018 pada tahun lalu, golongan pelabur yang pernah berminat untuk melabur di Labuan, membuat ‘u-turn‘ untuk melabur di Pulau Bebas Cukai Labuan.

Namun demikian, sama ada projek pembinaan Jambatan Labuan-Sabah ini akan terlaksana atau tidak, hanya Tuhan yang tahu.

Biarlah rakyat yang akan menilai dalam tempoh lima ke 10 tahun yang akan datang.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *