PAS Labuan ragui ketelusan Pelan Pembangunan Labuan

19 Februari 2018

LABUAN – PAS Labuan tidak melihat Pelan Pembangunan Labuan (Labuan Development Plan) 2030 sebagai sesuatu ‘janji benar’ yang harus dipercayai oleh rakyat Labuan yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal menjelang tiba.

Yang Dipertua PAS Labuan, Hamir Zahari (gambar) mendakwa, janji tersebut boleh jadi hanyalah ‘umpan’ yang ditabur oleh kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) di sini untuk meraih undi.

“Jika kita imbau kembali sejarah pembangunan Labuan semenjak era Usno, Berjaya dan kini Umno, rakyat Labuan sudah lama dimomokkan dengan pengumuman projek berskala besar setiap kali menjelang PRU.

“Sejak sekian lamanya, rakyat diumpan dengan janji yang hanya indah khabar dari rupa, dimana corak (pattern) tersebut masih sama dan berterusan sehingga tahun 2018 ini.

“Hasil tinjauan PAS Labuan mendapati, ramai rakyat di Labuan masih tidak pasti, keliru dan tidak yakin dengan pelan pembangunan tersebut,” katanya.

Beliau berkata lanjut, berkenaan dengan projek Jambatan Labuan-Sabah, golongan tua di sini menyatakan bahawa mereka tidak akan sempat menikmati janji tersebut kerana suatu kajian baharu hendak dilaksanakan sekali lagi.

“Golongan tua inilah juga yang pernah dijanjikan projek jambatan sejak era kerajaan BN Berjaya lagi. Malah, salah seorang juruukur di sini yang ditugaskan oleh Jabatan Tanah dan Ukur pada masa itu masih lagi hidup.

“Beliau sendiri menceritakan kepada PAS Labuan bagaimana seriusnya kerajaan BN Berjaya pada ketika itu, dimana kerja mengukur tanah di Labuan dan Menumbok telah dilaksanakan bagi persediaan pembinaan projek Jambatan Labuan-Sabah.

“Namun, ianya gagal dilaksanakan,” kata Hamir.

Sementara itu, Hamir mempersoalkan, berapa kali lagi kajian pelaksanaan Jambatan Labuan-Sabah harus dilakukan?

“Pada tahun 2009 dahulu, sekali lagi pemerintah kerajaan BN Umno mengumumkan projek jambatan ini melalui pengisytiharan rasmi yang dibuat oleh menteri wilayah persekutuan pada masa itu dengan peruntukan RM5 juta untuk kos kajian.

“PAS Labuan ingin bertanya, ke manakah perginya hasil atau data kajian yang menelan belanja RM5 juta tersebut?

“PAS Labuan mendapat maklumat bahawa dokumen tersebut tidak dapat dikesan walaupun sudah ada usaha dibuat untuk meminta ianya dibentangkan,” katanya.

Hamir menjelaskan, PAS Labuan memandang perkara tersebut sebagai suatu kecuaian dan pembaziran duit milik pembayar cukai dan hasil negara.

“Dalam isu pembinaan Jambatan Labuan-Sabah, tahap pembaziran pasti meningkat. Malah, sudah terbukti kerajaan BN tidak efisien dan serius didalam mengurus pembangunan pulau ini.

“Dalam masa yang sama pengisytiharan pembinaan Sekolah Menegah Agama Berasrama Penuh Labuan yang tidak lebih dari RM63 juta masih gagal dilaksanakan sehingga ke hari ini.

“Manakala pembinaan projek seperti Medan Selera yang bernilai RM12 juta telah mengalami tiga kali EOT (Extension Of Time). PAS labuan kesal EOT sudah menjadi suatu kebiasaan yang mana sepatutnya tidak berlaku,” dakwa beliau.

Selanjutnya, Hamir berkata, rakyat marhaen sudah meluat apabila tibanya musim PRU akan wujud projek gah dan glamour dengan pelancaran mega. Tetapi, realiti kehidupan rakyat di bawah adalah sukar dengan kos sara hidup yang tinggi serta kekurangan peluang pekerjaan.

PAS Labuan juga melihat Pelan Pembangunan Labuan 2030 ini, hanya menumpukan kepada pembangunan material atau fizikal sahaja, sedangkan pelan pembangunan minda dan akhlak bagi mengisi peneraju yang efisien masa depan Pulau Labuan terus diabaikan.

Hamir terus mendakwa, respon dari golongan pertengahan dan terpelajar di sini menganggap pelancaran pelan pembangunan tersebut hanyalah ‘gula-gula’ PRU dan rakyat marhaen tidak lagi teruja malah tidak yakin dengan pelan pembangunan demikian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *