Syarikat along tanpa lesen diserbu di Labuan, lima pekerja direman

FOTO: MUHAMAD Farid (dua kiri) dan pegawai kanan polis IPD Labuan menunjukkan kepingan kertas promosi dan kad perniagaan syarikat along terbabit.

21 Februari 2018

LABUAN – Sebuah syarikat pengurusan dan perkhidmatan di sini telah diserbu polis kerana menjalankan perniagaan peminjaman wang tanpa lesen pada jam 11.30 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, pihak polis telah melakukan risikan dan pemerhatian selama lebih kurang seminggu ke atas syarikat terbabit berdasarkan kad perniagaan peminjaman wang syarikat tersebut yang diedarkan kepada orang ramai sebelum serbuan dilakukan.

“Premis ini berdaftar sebagai syarikat pengurusan dan perkhidmatan. Namun, perniagaan peminjaman wang oleh syarikat terbabit tidak berdaftar.

“Cara pengiklanan dan promosi yang dilakukan oleh mereka ialah dengan mengedarkan kad perniagaan pada kenderaan awam seperti meletakkan di bakul motosikal, cermin kereta dan di pintu kereta.

“Dalam serbuan ini, lima orang pekerja syarikat berkenaan yang berumur antara 22 dan 28 tahun telah ditahan, dimana tiga daripadanya adalah perempuan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan tengah hari tadi.

Beliau berkata lanjut, sejumlah 79 item telah dirampas dalam serbuah itu termasuklah wang tunai berjumlah RM34,133.30, 29 buah buku senarai peminjam, 11 keping kad ATM, dua buah fail skim pinjaman, empat cop syarikat, fail salinan kad pengenalan peminjam dan sebagainya.

Kelima pekerja syarikat tersebut telah direman selama tiga hari bermula pada hari ini sehingga 23 Februari dan akan disambung jika siasatan belum lagi selesai.

Kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 atas kesalahan menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

Hukuman bagi kesalahan ini ialah denda antara RM250,000 sehingga RM1 juta atau hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan sekiranya kesalahan berulang boleh dikenakan sebatan.

Pihak polis menasihatkan agar orang ramai tidak meminjam wang daripada along tanpa lesen kerana kemungkinan akan dikenakan dengan pelbagai tekanan seperti bayaran bunga yang tinggi serta diugut.

Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kegiatan along supaya menyalurkannya kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Labuan pada talian 087-412222 atau di balai polis yang berdekatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *