Pejalan kaki tewas setelah dilanggar di Jalan OKK Abdullah, Labuan

FOTO: TUBUH pejalan kaki tersebut terbaring di tepi jalan setelah dilanggar oleh kereta Ford Lynx terbabit.

1 Mac 2018

LABUAN – Pejalan kaki yang dilanggar oleh kenderaan jenis Ford Lynx di Jalan OKK Abdullah pada jam 6.50 petang kelmarin telah disahkan meninggal pada jam 1.04 pagi tadi oleh pihak Hospital Nukleus Labuan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Labuan, DSP Mohd Ibrahim Mohd Ghani berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh pihak keluarga mangsa.

“Mangsa tersebut iaitu seorang lelaki pemegang IMM13 dikenal pasti sebagai Palahuddin Abdul, berumur 64 tahun telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala setelah dilanggar oleh kenderaan terbabit.

“Siasatan awal pihak polis mendapati, pemandu kenderaan tersebut dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Taman Kian Yap melalui Jalan OKK Abdullah.

“Ketika pemandu melalui jalan itu, mangsa iaitu pejalan kaki terbabit tiba-tiba melintas jalan. Disebabkan jarak yang terlalu hampir dengan mangsa, pemandu tersebut tidak sempat mengelak dan hanya sempat menekan brek tetapi berakhir dengan pelanggaran,” katanya.

Beliau berkata lanjut, akibat pelanggaran tersebut, pejalan kaki berkenaan telah terhumban ke bahagian cermin hadapan kereta Ford Lynx demikian.

Ekoran daripada kejadian itu, mangsa dikejarkan oleh ambulans ke Hospital Nukleus Labuan untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Sementara itu, Mohd Ibrahim berkata, pemandu yang berumur 62 tahun itu tidak mengalami apa-apa kecederaan dan saksi yang melihat kejadian tersebut diseru untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan untuk membantu siasatan.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Ibrahim turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati ketika melintas jalan dan melintas di lintasan yang telah ditetapkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *