Motosikal yang dicuri di Patau-Patau Dua ditemui semula

FOTO: MUHAMAD FARID (kanan) dan pegawainya menunjukkan motosikal yang telah ditemui itu.

8 Mac 2018

LABUAN – Motosikal jenis Modenas Kriss yang dilaporkan hilang di Patau-Patau Dua sebelum ini telah ditemui semula oleh pihak polis pada 6 Mac di salah sebuah rumah di Taman Sea View, Tanjung Aru.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, dalam kes curi motosikal ini, dua suspek tempatan berumur 30-an telah ditangkap.

“Pemilik motosikal tersebut mengatakan motosikalnya itu diletakkan berhadapan dengan surau di kampung tersebut dalam keadaan yang berkunci pada malam 1 Mac.

“Beliau telah menyedari kehilangan motosikalnya itu pada keesokan harinya, dimana pemilik itu telah membuat laporan mengenai perkara itu pada hari yang sama.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, pihak polis telah menyerbu bilik tempat tinggal dua suspek terbabit di Tanjung Aru. Motosikal itu disembunyikan di dalam bilik kedua suspek itu,” katanya kepada pihak media pagi tadi dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.

Beliau berkata lanjut, nombor plat motosikal tersebut telah ditanggalkan. Namun, pihak polis telah mengenal pasti nombor casis enjin motosikal itu sesuai dengan laporan kehilangan motosikal sebelum ini.

Muhamad Farid menjelaskan, hasil siasatan polis, kedua suspek itu mengakui telah mencuri motosikal tersebut, dimana kedua suspek merupakan penagih dadah dan pernah ditangkap sebelum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *