Suspek pecah rumah di Taman Kawan-Kawan ditangkap polis

9 Mac 2018

LABUAN – Suspek berumur 39 tahun ditahan polis pada 6 Mac lalu jam lebih kurang 3 petang di salah sebuah rumah di Patau-Patau Dua atas kesalahan mencuri.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, suspek tersebut diberkas polis kerana telah mencuri beg tangan di Taman Kawan-Kawan sini.

“Pemilik beg tangan tersebut telah membuat laporan polis pada hari sebelum suspek ditangkap, dimana beg tangan miliknya mengandungi kad pengenalan, tiga keping kad ATM dan wang tunai bernilai RM300.

“Beg tersebut diletakkan di atas katil dalam bilik tidur ketika ianya dicuri. Hasil siasatan polis di tempat kejadian telah menjumpai sebatang paip PVC yang bercangkuk pada hujung batang paip tersebut.

“Batang paip itu disyaki digunakan oleh suspek untuk mengait beg tangan itu daripada luar rumah melalui tingkap (sliding) yang tidak berkunci,” katanya kepada pihak media kelmarin.

Beliau berkata lanjut, siasatan di tempat kejadian juga telah menjumpai satu beg di luar pintu pagar rumah mangsa yang mengandungi sehelai baju, gunting, pisau, serangkai anak kunci dan sebuah telefon bimbit jenama Samung Galaxy Tab.

“Hasil semakan pada telefon bimbit tersebut mendapati beberapa gambar pemilik telefon bimbit itu pernah ditangkap oleh polis sebelum ini atas kesalahan pecah rumah.

“Serbuan yang dilakukan ke atas rumah suspek telah menemui dokumen milik mangsa dan wang tunai bernilai RM200 di dalam beg milik suspek. Beg tangan milik mangsa turut ditemui dalam serbuan itu.

“Turut dijumpai dalam beg milik suspek ialah satu keratan straw yang didalamnya mengandungi ketulan kristal jenis syabu,” katanya.

Muhamad Farid berkata, suspek mengakui telah mencuri beg tangan milik mangsa secara seorang diri dan hanya sempat membelanjakan RM100 wang tunai tersebut sebelum ditangkap oleh pihak polis.

Semakan rekod lampau suspek mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah, dimana dua darinya ialah kes pecah rumah dan tiga lagi kes curi dalam bangunan.

Suspek telah menjalani hukuman bagi kelima kes terbabit.

Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif menyalahgunakan dadah jenis syabu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *