Pelajar berumur 19 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Tun Mustapha

FOTO: KENDERAAN Perodua Myvi yang rosak setelah berlanggar dengan Proton Saga FLX di Jalan Tun Mustapha sini.

7 April 2018

LABUAN – Seorang pelajar perempuan berumur 19 tahun maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku pada 5 April lalu di Jalan Tun Mustapha berhampiran dengan lampu isyarat berdekatan dengan Wisma Wong Wo Lo sini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam lebih kurang 2 pagi, dimana dua buah kenderaan terlibat didalam kemalangan ini iaitu Proton Saga FLX dan Perodua Myvi.

“Perempuan yang meninggal tersebut dikenal pasti sebagai Bong Kui Lei dan merupakan pelajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi di sini.

“Melalui siasatan polis, mangsa merupakan penumpang kenderaan Perodua Myvi yang dipandu oleh lelaki berumur 26 tahun yang bekerja sebagai polis bantuan di salah sebuah syarikat swasta di Labuan.

“Kedua kenderaan yang terlibat telah berlanggar antara satu sama lain, dimana lelaki tersebut hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian kepala,” katanya.

Sementara itu, pemandu Proton Saga FLX iaitu seorang lelaki dan berumur 31 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Melalui siasatan polis juga, pemandu Perodua Myvi itu tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Muhamad Farid berkata lanjut, mayat pelajar perempuan itu hanya ditemui pada keesokan harinya (6 April) pada jam 3.50 petang oleh rakannya iaitu si pemandu Perodua Myvi terbabit.

Pemandu Perodua Myvi itu telah memaklumkan penemuan mayat rakannya itu kepada pihak polis, dimana beliau telah menemui perempuan itu di dalam longkang iaitu 30 meter dari lokasi kejadian.

Menurut pemandu Perodua Myvi tersebut, gadis terbabit berada di dalam kereta semasa kemalangan itu berlaku.

Namun, ketika beliau iaitu si pemandu Perodua Myvi itu dihantar ke hospital, beliau dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Setelah keluar dari hospital, beliau telah mencari mangsa di tempat kejadian sehingga menemui mayat itu lalu menghubungi pihak polis.

Pemandu Perodua Myvi itu menyedari bahawa rakannya itu iaitu si mati, tidak terselamat dalam kemalangan itu selepas tidak dapat menghubungi dan selepas mencari di tempat tinggalnya.

Mayat si mati telah dibawa ke Hospital Nukleus Labuan untuk tujuan bedah siasat yang akan dijalankan oleh pakar forensik.

Sebelum itu, kejadian tersebut berlaku ketika si pemandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah bandar menuju ke Pohon Batu melalui Jalan Tun Mustapha.

Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit yang berada pada lorong kiri hilang kawalan pemanduan akibat mengantuk dan telah masuk ke lorong kanan.

Pada ketika itu, kereta Proton Saga yang sedang berada pada lorong kanan telah terlanggar bahagian tepi kanan kereta Perodua Myvi tersebut.

Kedua-dua pemandu telah dihantar ke Hospital Nukleus Labuan untuk mendapatkan rawatan.

Muhamad Farid menjelaskan kes ini disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan pesalah boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *