Cemburu sebabkan warden penjara Labuan tetak isteri dan anak

8 April 2018

LABUAN – Seorang warden penjara di Penjara Koreksional Labuan Wilayah Persekutuan Labuan berpangkat sarjan hilang pertimbangan apabila beliau bertindak menetak isterinya yang berumur 45 tahun sehingga cedera parah kelmarin.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, warden yang berumur 53 tahun itu turut menetak anak lelaki sulung mereka yang berumur 23 tahun.

“Sekitar jam 3.13 petang kelmarin, pihak polis telah menerima panggilan berkenaan dengan insiden mengamuk di perumahan staf penjara Pusat Koreksional Labuan iaitu di Taman Bakti, Jalan Bukit Timbalai.

“Sejurus mendapat panggilan tersebut, pihak kami terus ke tempat kejadian. Setiba di lokasi kejadian pada jam 3.30 petang berhampiran pintu masuk ke Pusat Koreksional Labuan, warden tersebut sedang mengamuk dan berdiri di sebelah kenderaannya, Toyota Avanza.

“Warden tersebut memegang parang di tangan kanannya sambil melibas-libas parang tersebut ke arah pihak polis. Warden itu juga mengugut untuk menikam dirinya jika ada sesiapa cuba menghampirinya dengan menghalakan hujung parang tersebut pada bahagian perutnya,” katanya.

Muhamad Farid berkata lanjut, pada jam lebih kurang 5.20 petang semasa usaha memujuk dan menenangkan warden itu masih berjalan, secara tiba-tiba, warden terbabit terus masuk ke dalam kenderaannya dengan membawa bersama parang di tangannya.

Warden itu terus menggerakkan kenderaannya dari lokasi kejadian menghala ke jalan UMSKAL dengan melepasi halangan kenderaan pasukan keselamatan yang diletakkan bagi menghalang laluan.

Pasukan polis diketuai Muhamad Farid sendiri terus mengejar dan mengekori rapat kereta warden itu kerana bimbang faktor keselamatan orang awam disebabkan warden terbabit bersenjata parang.

Selanjutnya, warden itu melarikan diri ke kawasan pantai UMSKAL dan arahan untuk menyerah diri kepada warden itu tidak diendahkan, malah warden demikian semakin agresif dengan menggugut hendak menyerang polis dengan parang yang masih dipegangnya.

Perkara tersebut menyebabkan satu das tembakan amaran dilepaskan ke udara oleh pihak polis.

Walau bagaimanapun, warden itu masih bertindak aggresif dan tidak ada sebarang tanda untuk menyerah diri.

Tembakan kali kedua telah disasarkan pada paha warden itu.

Namun demikian, warden tidak rebah dan masih bertindak agresif serta tidak menunjukkan tanda untuk mengalah.

Pihak polis sekali lagi telah melepaskan tembakan menggunakan ‘teaser gun’ dan barulah warden terbabit jatuh dan melepaskan parang dari tangannya.

Pihak polis kemudiannya bertindak pantas menangkap dan merampas senjata parang yang dipegang oleh warden terbabit.

Warden itu telah dibawa ke hospital di wad kecemasan dan telah diberikan rawatan lanjut oleh pihak hospital.

Namun, pada hari yang sama iaitu pada jam lebih kurang 9.10 malam pihak polis telah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa warden itu telah meninggal dunia.

Muhamad Farid berkata, satu kertas siasatan berasingan telah dibuka ke atas kematian warden berkenaan.

Permohonan bedah siasat telah dikeluarkan, namun tarikh dan masa bedah siasat masih belum ditentukan oleh pihak hospital.

Sementara itu, hasil siasatan awal pihak polis, pada jam lebih kurang 3 petang kelmarin, semasa isteri warden terbabit pulang dari kerja, telah berlaku pertengkaran antara warden itu dan isterinya.

Pertengkaran itu dipercayai berpunca dari rasa cemburu warden demikian terhadap isterinya yang juga bekerja sebagai operator di Pusat Penjara Koreksional Labuan.

Muhamad Farid menjelaskan, warden itu telah menuduh isterinya itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Secara tiba-tiba, warden terbabit masuk ke bilik tidur dan keluar semula dengan membawa sebilah parang.

Warden tersebut telah bertindak menikam isterinya pada bahagian perut lalu menetak belakang badan, bahagian leher belakang dan pada betis sebelah kanan isterinya.

Anak sulung mereka yang berada dalam rumah cuba untuk membawa ibunya itu keluar dari rumah.

Pergelutan sekali lagi berlaku di hadapan pintu pagar rumah mereka, namun ianya berlaku antara warden itu dengan anak lelakinya.

Pergelutan itu telah menyebabkan parang yang dipegang oleh warden itu telah terkena tangan anak lelakinya itu.

Walau bagaimanapun, anak lelaki mereka itu telah memapah ibunya menyeberang jalan menuju ke kawasan perumahan berdekatan untuk menyelamatkan diri.

Namun, mereka dikejar dan dihalang oleh warden demikian dengan menggunakan kenderaannya.

Isteri warden itu kemudiannya rebah di kawasan semak tepi jalan.

Walau bagaimanapun, anak lelaki mereka berjaya meloloskan diri masuk ke kawasan semak untuk menyelamatkan diri daripada warden yang sedang mengamuk itu.

Isteri warden itu masih lagi dirawat di unit kecemasan.

Sementara itu, anak lelaki mereka cedera ringan dengan satu kesan tetakan pada tapak sebelah kanannya, dimana dia ditahan di hospital sebagai pesakit biasa.

Manakala, laporan pemeriksaan awal doktor ke atas mayat warden itu mendapati terdapat satu kesan tembakan pada bahagian peha kiri warden yang menembusi peha belakang.

Terdapat juga kesan tetakan pada tengkuk belakang warden itu yang dipercayai terkena tetakannya sendiri.

Selain itu, kesan luka pada jari telunjuk tangan kiri warden yang mengalirkan darah telah distabilkan sebelum warden itu meninggal dunia.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 326 dan 307 Kanun Keseksaan.

WARDEN penjara terbabit mengacukan parang kepada pihak berkuasa di Jalan Bukit Timbalai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *