APM Labuan diseru komited dengan amanah

10 April 2018

LABUAN – Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Wilayah Persekutuan Labuan (APM WP Labuan) telah diadakan baru-baru ini di Dewan Kuliah Utama Institut Latihan Perindustrian Labuan (ILP Labuan).

Majlis tersebut yang dirasmikan oleh timbalan pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Wilayah Persekutuan, YS Lt. Kol. (PA) Mohd Zahri Abdul Aziz menyeru warga APM Labuan agar memartabatkan APM menjadi sebuah organisasi berprestasi tinggi, diberkati, dan mencapai matlamatnya untuk terus cemerlang.

Ianya penting kerana APM Labuan merupakan sekretariat pengurusan bencana dan keselamatan di pulau ini, dimana perkhidmatan yang terbaik perlu diberikan demi kesejahteraan seluruh rakyat.

Mohd. Zahri hadir mewakili pengarah APM Negeri Wilayah Persekutuan, Kol. (PA) Md Anuar Jasmin.

Turut hadir dalam majlis perhimpunan tersebut ialah pegawai Pertahanan Awam Daerah Wilayah Persekutuan Labuan, YS Mejar (PA) Zico Sual, pegawai bersekutu Pasukan Siswa APM Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), YS Lt. Kol. (PA) Prof. Madya Dr. Hjh. Norazah Mohd Suki, wakil pengarah ILP Labuan, anggota Pasukan Siswa APM UMSKAL serta anggota Pasukan Institut Pertahanan Awam ILP.

Dalam majlis perhimpunan itu, penyampaian sumbangan Dana Kasih Sayang Pertahanan Awam (DASPA) turut diberikan kepada L/KPL. (PA) Mohamad Abdullah.

Selain itu, penyampaian sijil “1 Keluarga, 1 APM” juga diserahkan kepada 11 buah keluarga yang terpilih.

Di samping itu, sijil penghargaan turut disampaikan kepada Prof. Madya Dr. Hjh. Norazah selaku pegawai bersekutu Pasukan Siswa APM UMSKAL dan kepada Abdullah Muhamad selaku Pengarah ILP Labuan atas jasa khidmat bakti terhadap program latihan APM di institusi pendidikan tinggi tersebut.

Melalui majlis perhimpunan itu, seluruh warga APM Labuan diberikan kata-kata semangat untuk sentiasa gigih dan komited dalam melaksanakan setiap arahan dan tugasan yang diamanahkan dengan jayanya tanpa mengira masa dan situasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *