Pemancing berumur 25 tahun dikhuatiri hilang di perairan Labuan

FOTO: BOT milik mangsa yang ditemui di Pulau Kuraman.

10 April 2018

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan masih mencari seorang pemancing lelaki berumur 25 tahun yang dikhuatiri hilang setelah bot yang dinaiki oleh mangsa tersebut bersama rakan lelaki yang berumur 18 tahun terbakar.

Pengarah Maritim Daerah Labuan, Kepten Maritim Che Adnan Md. Isa berkata, bilik operasi APMM Labuan telah menerima laporan berkenaan insiden tersebut pada jam 8 pagi hari ini.

“Dalam laporan itu, sebuah bot yang dinaiki oleh dua orang pemancing telah terbakar di perairan Pulau Rusukan Besar dan salah seorang dari kedua pemancing itu telah diselamatkan oleh nelayan dan seorang lagi masih hilang.

“Sebuah kapal peronda telah diarahkan untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat sejurus mendapat laporan tersebut. Identiti mangsa dikenal pasti sebagai Sally Juparin.

“Berdasarkan maklumat dari keluarga mangsa terbabit, mangsa bersama rakannya itu telah keluar memancing pada jam 10 pagi, Ahad lepas dan masih belum pulang sehingga keluarga mangsa menemui bot yang digunakan oleh mangsa tersadai di Pulau Kuraman dalam keadaan terbakar pada jam 6 petang semalam,” katanya.

Menurut rakannya yang selamat, kedua mereka telah terjun ke laut setelah enjin bot mereka terbakar dan cuba berenang ke Pulau Rusukan Besar, namun dihanyutkan oleh arus deras sebelum beliau diselamatkan oleh bot nelayan.

Walau bagaimanapun, Sally masih belum ditemui dan dikhuatiri hilang.

Agensi yang turut terlibat dalam ‘operasi cari lamat’ ini ialah pasukan polis marin Labuan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Angkatan Pertahanan Awam Labuan dan beberapa orang rakan mangsa dengan menggunakan bot mereka masing-masing.

Operasi ini turut melibatkan pasukan Polis Marin Negara Brunei untuk membuat pencarian di sekitar sempadan negara mereka.

“APMM Daerah Maritim Labuan mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang melibatkan pemancing bot kecil dan bot-bot nelayan.

“Justeru itu, pihak APMM Labuan mengharapkan kerjasama dari orang ramai supaya membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca tidak menentu,” kata Che Adnan.

Komuniti maritim khususnya disarankan agar merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca semasa sebelum turun ke laut.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Daerah Maritim Labuan di talian 087-427999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *