Kem tahunan APM UMS dedahkan pelajar pengurusan bencana

FOTO: Dr. Norazah (kanan) menerima tabik hormat sebelum Majlis Penutupan Kem Latihan Tahunan Pasukan Siswa APM UMS 2018 dimulakan.

11 April 2018

LABUAN – Seramai 130 orang anggota Pasukan Siswa Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Universiti Malaysia Sabah (Pasukan Siswa APM UMS) telah menyertai Kem Latihan Tahunan Pasukan Siswa APM UMS 2018 yang diadakan baru-baru ini di Pusat Kawalan Operasi APM Labuan.

Majlis penutupan kem latihan tersebut telah disempurnakan oleh pegawai bersekutu Pasukan Siswa APM UMSKAL, YS. Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Prof. Madya Dr. Hjh. Norazah Mohd Suki.

“Bekalan ilmu pertahanan awam secara teori dan praktikal, di samping semangat kesukarelawanan yang tinggi di kalangan sukarelawan amat bernilai bagi membantu APM Daerah dalam menghadapi bencana termasuk melaksanakan sebarang aktiviti kesedaran keselamatan awam, kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana” kata Dr. Norazah dalam ucapannya.

Daripada jumlah yang hadir ke kem tersebut, 75 orang adalah anggota Pasukan Siswa APM UMS Kampus Induk Kota Kinabalu, dan 55 orang lagi adalah anggota Pasukan Siswa APM UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Kem Latihan Tahunan itu memberi ruang dan peluang kepada anggota Pasukan Siswa APM UMS mempertingkatkan ketahanan fizikal, mental dan daya kerohanian yang seimbang melalui aktiviti mencari dan menyelamat mangsa bencana, dan pendedahan tentang pengurusan bencana bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Turut hadir dalam majlis ini ialah ketua jurulatih Pasukan Siswa APM UMS, Kapt. (PA) Zulfaituri Ramlee, ketua jurulatih Pasukan Siswa APM UMSKAL, Kapt. (PA) Japli Siping, Lt. (PA) Marinus Mathius, Lt. M. (PA) Mohd Bakhtiar Yamba, Lt. (PA) Omar Abbas, dan Sjn. (PA) Awang Azami Kassim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *