Enam belas pemimpin pengakap Labuan jalani kursus manikayu

FOTO: HONG (duduk tiga kanan) bergambar bersama dengan pemimpin pengakap yang telah menamatkan kursus manikayu tiga hari di Kampung Sungai Miri. 

25 April 2018

LABUAN – Seramai 16 orang pemimpin Pengakap SK Membedai, SK Pantai dan Sekolah Antarabangsa Labuan (LIS) baru-baru ini telah menjalani kursus manikayu di Desa Tunas Hijau, Kampung Sungai Miri.

Setiausaha Latihan Negeri Labuan, Niza Utiya Hanzah berkata, antara objektif utama kursus tiga hari tersebut ialah agar pemimpin pengakap mengetahui peranan dan tanggungjawab serta yakin pada diri sendiri semasa menjalankan tugas.

“Kursus ini merupakan satu skim kelayakan yang perlu dihadiri oleh setiap ahli pengakap yang dilantik menjawat jawatan pemimpin di kumpulan masing-masing.

“Kecekalan peserta mengharungi pengalaman berharga ini menjadikan mereka semakin memahami kepentingan merancang sesuatu program dalam aktiviti pengakap dengan mengambil kira faktor cuaca dan bentuk muka bumi yang sesuai dengan keadaan semasa,” katanya, dimana peserta diuji dengan ribut dan hujan ketika menjalani kursus tersebut.

Beliau berkata lanjut, kursus itu juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai isyarat, istiadat, lencana dan kemahiran dalam pengakap selain untuk menambah pengalaman yang sedia ada.

Salah seorang peserta iaitu Guru Besar SK Membedai, Md. Farihi Ab. Halim berkata, kursus tersebut membantu beliau didalam menguasai kemahiran berpengakap yang diperlukan untuk dipraktikkan apabila mengajar kemahiran itu kepada ahli pengakap dalam kumpulan beliau dengan lebih efektif.

“Pengalaman berkhemah dipenuhi air juga merupakan pengalaman pertama saya sepanjang mengikuti program perkhemahan yang tentunya tidak dapat dilupakan dan sangat menarik untuk dikongsi bersama dengan keluarga, sanak saudara dan murid,” katanya.

Manikayu peringkat satu merupakan satu daripada enam peringkat dalam kursus kepimpinan manikayu yang diberikan oleh pasukan latihan, Persekutuan Pengakap Malaysia.

Ianya telah dianjurkan oleh Pasukan Latihan Negeri Labuan iaitu lanjutan daripada kursus kepimpinan manikayu peringkat pengenalan yang telah diadakan di SK Pantai pada 10 Mac yang lalu.

Mereka yang telah menamatkan latihan akan diberikan pengesahan dalam bentuk dua manikayu pada tali kulit.

Penerima manikayu dikenali sebagai Wood Badger atau Gilwellian.

Majlis perasmian penutupan telah dirasmikan oleh ketua pesuruhjaya pengakap negeri, Skip Hong Heng Chee, dimana beliau telah menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta kursus.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *