Apa pilihan Labuan sebagai kawasan pembangkang?

11 Mei 2018

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 yang baru selesai telah meletakkan Labuan dalam keadaan yang sukar.

Walaupun, kemenangan berpihak di tangan Barisan Nasional (BN) untuk kerusi parlimen Labuan, namun, kemenangan tersebut hanya meletakkan Labuan dalam keadaan yang suram dengan masa depan yang tidak menentu.

Setelah Tun Dr Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang ketujuh semalam, maka, rasmilah Pakatan Harapan (PH) kini memegang tampuk pemerintahan yang baru di Putrajaya.

Manakala, BN kini tersungkur dari tampuk kekuasaan setelah berkuasa selama 60 tahun di Malaysia.

Di Sabah, kemungkinan besar Umno dan BN akan dibubarkan tidak lama lagi berdasarkan kenyataan timbalan ketua menteri Sabah yang baru dilantik iaitu Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Dalam kenyataannya kepada media, kesemua wakil rakyat Umno dan BN di Sabah akan bergabung dalam satu parti tempatan.

Oleh yang demikian, jika Umno dan BN di Sabah dibubarkan, apa pilihan yang ada di Labuan?

Sudah tentunya, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli akan keseorangan kerana BN yang ditunjangi oleh Umno tidak lagi berkuasa di Putrajaya.

Beliau mempunyai beberapa pilihan, antaranya bergabung dengan BN di Sabah yang akan membentuk satu parti tempatan.

Pilihan lain adalah dengan mengambil risiko menyertai Dr Mahathir dibawah PH kerana Labuan adalah sebahagian daripada wilayah persekutuan.

Rozman perlu membuat pilihan demi kelangsungan politik beliau dan juga demi kesejahteraan rakyat di Pulau Labuan.

Namun, apakah beliau berani membuat keputusan untuk bergabung dengan PH sebagaimana yang dilakukan oleh pemangku presiden Upko merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau yang bergabung dengan Warisan di Sabah?

Jika beliau membuat keputusan sebagaimana yang dilakukan oleh Wilfred, apa pula reaksi calon PH dan juga penyokong PH di Labuan?

Apa pilihan yang beliau ada seandainya beliau kekal dalam keadaan sekarang dan bagaimana pula manifesto BN Labuan yang beliau perlu laksanakan setelah memenangi kerusi parlimen Labuan?

Beliau mungkin mempunyai pilihan dan warga Labuan perlu mengetahui pilihan tersebut demi kebaikan warga Labuan secara keseluruhannya.

      

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *