Kenapa bangunan perpustakaan perlu dibina di Labuan?

FOTO: Sekadar gambar hiasan.

4 September 2018

Selaras dengan dasar baharu pendidikan negara yang diterajui oleh kerajaan baharu yang mementingkan pendidikan, penguasaan ilmu serta kesedaran membaca dikalangan rakyat, maka, sudah tiba masanya untuk Labuan turut serta dalam arus pembangunan intelek negara.

Hasrat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu rakyatnya menguasai Bahasa Inggeris sebagai langkah penguasaan ilmu dan mengangkat martabat bangsa ini diperingkat dunia seharusnya menjadi pembakar semangat untuk rakyat jelata khususnya di Labuan untuk menyambut baik seruan beliau itu.

Apatah lagi beliau seringkali menggalakkan rakyat negara ini tidak kira usia agar terus membaca buku demi mencontohi penduduk di negara maju yang amat menitikberatkan ilmu serta pembacaan dalam kehidupan seharian mereka.

Visi 2020 yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri Keempat dahulu juga bertujuan untuk melahirkan Bangsa Malaysia yang hebat dan makmur.

Pembangunan intelek rakyat merupakan tunjang kepada pencapaian visi tersebut. Tanpa pembangunan intelek, tidak mungkin Visi 2020 tercapai sepenuhnya.

Sementara itu, menteri pendidikan yang baharu, Dr. Maszlee Malik juga seorang yang gemar membaca buku dan telah menyenaraikan tajuk buku kegemaran beliau di akaun Instagram miliknya.

Salah satu matlamat beliau sebagai menteri pendidikan ialah beliau mahu menjadikan Malaysia sebagai negara membaca pada tahun 2030.

Matlamat beliau itu jelas menunjukkan bahawa intelek rakyat negara ini terutamanya golongan belia perlu dibangunkan melalui pembacaan.

Beliau menjelaskan matlamat itu bererti rakyat Malaysia merupakan rakyat yang paling banyak membaca pada tahun 2030.

“Kayu ukur kepada pendidikan yang berjaya ialah budaya membaca yang tinggi,” jelas Dr. Maszlee.  

Perkara ini jelas menunjukkan warga Labuan juga perlu menyambut baik galakan Tun Dr. Mahathir dan Dr. Maszlee ini.

Namun, pihak berwajib di Labuan perlu memberi suasana yang kondusif untuk membaca kepada warga Labuan.

Salah satunya ialah dengan membina bangunan perpustakaan Labuan sendiri pada lot tanah yang dikhaskan dan bukannya dengan ‘menumpang’ di bangunan pentadbiran Perbadanan Labuan.

Adalah amat tidak sesuai perpustakaan yang seharusnya bertaraf negeri, namun, masih berada dibawah bumbung bangunan Perbadanan Labuan.

Dalam era baharu negara ini yang diterajui oleh kerajaan baharu, barisan pemimpin dan pihak yang berkaitan di Labuan harus sedar bahawa pada masa ini bukannya masa untuk memperjuangkan projek besar seperti Jambatan Labuan-Sabah yang kajian pelaksanaannya telah pun dibatalkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Sebaliknya, pemimpin di sini harus kembali kepada perkara asas yang sepatutnya diperjuangkan seperti pembinaan bangunan perpustakaan sendiri bertaraf negeri di Labuan demi pembangunan intelek warga Labuan.

Walaupun, idea ini tidak begitu popular dibandingkan dengan projek besar lain seperti jambatan. Namun, harus diingat bahawa pelaburan kepada pembangunan minda muda mudi di Labuan pasti akan memberi pulangan yang menguntungkan bukan sahaja kepada Pulau Labuan bahkan kepada negara ini pada suatu masa nanti.

Adalah sesuatu yang tidak wajar bagi Labuan yang berstatus Wilayah Persekutuan, tetapi tidak mempunyai bangunan perpustakaan negeri sendiri sepertimana yang dimiliki di beberapa daerah di Sabah dan juga di negeri lain.    

Antara cadangan pembinaan bangunan perpustakaan Wilayah Persekutuan Labuan tersebut ialah pada tapak tanah yang berhampiran dengan Medan Selera yang baharu siap dibina.

Namun demikian, lokasi pembinaan yang lebih sesuai terpulang kepada pihak berwajib seandainya mereka berminat untuk mahu membina bangunan perpustakaan di Labuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *