Bangunkan semula anak muda Labuan

19 September 2018

Kehadiran barisan pemimpin tertinggi PKR ke Labuan semalam kini kelihatan mudah tanpa sebarang gangguan.

Ianya berbeza sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, dimana setiap pemimpin dari pihak Pakatan Harapan yang datang ke Pulau Labuan dianggap ‘musuh berat’ yang harus ditentang.

Kehadiran mereka umpama ‘bala’ yang harus ditolak tepi oleh pihak lawan.

Justeru itu, kehadiran mereka ke Labuan (bukan musim PRU) pada ketika itu selalunya dalam keadaan yang senyap dan tidak disedari oleh orang ramai.

Bendera PKR yang dipacak di tepi jalan berhampiran dengan bulatan di kawasan pelabuhan Labuan juga kelihatan tidak diganggu walaupun pulau ini masih diwakili oleh Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN).

Semangat demokrasi dengan menghormati pihak lawan inilah yang seharusnya ditanam dari dahulu.

Gejala samseng politik dengan menggunakan belia untuk menentang pihak lawan harus ditolak tepi.

Walaupun kini tiada lagi isu ‘baju merah’ setelah kekalahan BN di peringkat pusat, namun, gejala menggunakan anak muda untuk tujuan menunjukkan samseng politik harus ‘dimatikan’ terus oleh kedua belah pihak dari PH mahupun BN.

Anak muda yang dipergunakan untuk tujuan politik yang tidak matang adalah satu kezaliman terhadap pembentukan sahsiah diri dan minda anak muda bukan sahaja di Labuan bahkan di seluruh negara.

Anak muda seharusnya dibangunkan dan bukannya dirosakkan kerana mereka adalah pelapis dan pengganti kepada pemimpin yang ada sekarang.

Usah lagi anak muda disogok dengan hiburan yang melalaikan untuk kepentingan politik, tetapi, bangunkanlah mereka dengan perkara yang bermanfaat bukan sahaja untuk diri mereka bahkan untuk negara. 

Seandainya, kelebihan yang ada pada golongan belia diarahkan kepada pembinaan tamadun bangsa ianya sudah cukup bermakna buat negara ini.

Sebagai contoh, kepimpinan kini yang memberi peluang kepada anak muda untuk menjawat jawatan dalam kabinet sama ada di peringkat persekutuan atau pun negeri adalah satu tanda penghargaan mereka kepada kebolehan anak muda untuk memimpin dan mentadbir.

Dahulunya kita mengimpikan menjadi seperti di negara maju yang lain, dimana mereka memberi ruang kepada anak muda untuk menjadi pemimpin. Kini, Malaysia sedang menuju ke arah tersebut.

Kita mengharapkan segala program dan pengisian yang disusun khusus untuk golongan belia bakal memberi manfaat kepada anak muda pada era kini dan pasa masa hadapan.

Anak muda harus menjadi pencetus kepada perubahan peradaban bangsa demi mencapai visi negara untuk menjadi negara maju.

Anak muda tidak boleh ketinggalan dalam arus pergerakan masa untuk mencapai kemuliaan dalam hidup.

Banyak contoh dan iktibar yang boleh diambil dari sejarah. Sebagai contoh, Sultan Muhammad Al-Fatih iaitu pewaris Empayar Uthmaniyah hanyalah berumur 20 tahun ketika baginda berjaya menawan Kota Konstantinopel dari kekuasaan Empayar Byzantine (Empayar Rom Timur).

Peribadi Al-Fatih dibangunkan oleh kedua ibu bapanya dan juga melalui asuhan ulama yang terkenal pada zamannya.

Keperibadian, ketakwaan, ilmu yang tinggi serta kepimpinan Al-Fatih telah menjulang namanya dalam sejarah dunia di Timur dan Barat sehingga ke penghujung waktu nanti yakni Hari Kiamat.

Peribadi seperti beliaulah yang harus diteladani oleh kita untuk membentuk anak-anak yang bakal mencorakkan generasi bangsa Malaysia.

Bolehkah pihak kerajaan melahirkan lebih ramai keperibadian seperti Al-Fatih ini?

Ianya merupakan satu cabaran kepada pihak pentadbiran pada masa kini untuk membentuk peribadi Al-Fatih dikalangan generasi muda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *