Apakah mentaliti tetap sama dalam landskap politik Labuan yang baru?

22 September 2018

Perubahan landskap politik negara setelah 9 Mei yang lalu amat ketara dan sesuatu yang tidak dijangka sama sekali.

Pulau Labuan juga tidak ketinggalan didalam mengalami perubahan tersebut.

Namun, apa yang berlaku di Labuan sedikit melucukan.

Sebahagian pemimpin dan penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN) Labuan kini menyertai Parti Amanah Negara (PAN) Labuan dan dipercayai akan lebih ramai lagi yang bakal mengikuti jejak langkah mereka selepas ini.

Dalam program parti tersebut yang diadakan pada 15 September lalu di Labuan yang dihadiri oleh pengarah komunikasi PAN merangkap menteri wilayah persekutuan, Khalid Abdul Samad, kelihatan sebahagian wajah yang hadir merupakan bekas pemimpin Umno yang turut berkempen untuk mengalahkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Dahulunya mereka memakai pakaian warna merah dan biru, kini memakai pakaian warna oren pula.

Perkara seperti ini tidak berlaku hanya di Labuan sahaja, tetapi di seluruh negara.

Namun, persoalannya, apakah mentaliti bekas ahli Umno tersebut yang dianggap oportunis tetap sama ketika menyertai PAN yang merupakan salah satu komponen parti dalam PH?

Jika niat mereka menyertai PH hanyalah untuk kelangsungan (survival) politik mereka dan untuk mendapatkan kontrak, ianya tidak jauh berbeza ketika mereka masih berada dalam parti lama mereka.

Ini kerana, mentaliti yang sama akan tetap menjadikan warga Labuan secara keseluruhannya sebagai mangsa kepada tujuan politik yang tidak sihat.

Kenapa mereka memilih PAN? Sebab PAN merupakan parti baru di Labuan yang dijangka menjadi parti dominan kerana menteri wilayah persekutuan sendiri merupakan ahli PAN?

Kenapa mereka tidak menyertai parti komponen PH yang lain seperti PKR?

Tahukah mereka apa prinsip yang diperjuangkan oleh PAN?

Bagaimana pula seandainya Parti Islam Semalaysia (PAS) ditakdirkan menang di Labuan pada suatu hari nanti?

Apakah mereka juga akan menyertai PAS dan memperjuangkan prinsip PAS?

Kewujudan PAN di Labuan sudah dijangka selepas Khalid Abdul Samad dilantik menjadi menteri wilayah persekutuan.

Namun, perpecahan dalam PAN Labuan diperingkat awal penubuhan parti tersebut di sini juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada kestabilan politik di Labuan.

PAN Labuan dipercayai terpecah kepada Kem A dan Kem B, dimana ketua PAN Labuan yang sebenar bakal diputuskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak lama lagi.

Sebelum itu, Kem A telah membuat pengumuman di akhbar pada tarikh 12 Julai yang lalu berkenaan penubuhan PAN Labuan.

Sementara, Kem B pula membuat pengumuman penubuhan parti tersebut pada 1 Ogos. 

Walau apa pun yang berlaku, perpecahan hanya akan membuat suasana politik di Labuan menjadi buruk dan keikhlasan dalam memperjuangkan nasib warga Labuan perlu menjadi keutamaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *