Aktiviti mengebom ikan: Tiga suspek ditahan di perairan Labuan

1 Oktober 2018

LABUAN – Pasukan Polis Marin Labuan berjaya menahan tiga warga Filipina kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengeboman ikan di sekitar kawasan perairan Labuan.

Pemangku komender pasukan Polis Marin Sabah, Superintenden Abdul Nasir Othman berkata, ketiga suspek tersebut ditahan pada 29 September lalu jam 3.20 petang di 10 Batu Nautika dari Laut Tanjung Kubong.

“Bot pam yang dinaiki oleh ketiga suspek tersebut telah diperiksa oleh anggota kami yang sedang melakukan rondaan (Ops Terancang) di sekitar kawasan perairan Labuan.

“Hasil pemeriksaan anggota kami pada bot tersebut telah mendapati pelbagai peralatan yang digunakan bagi tujuan aktiviti mengebom ikan dan ketiga suspek terbabit juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Dalam pemeriksaan itu juga, pelbagai jenis ikan dengan anggaran berat 100 kilogram dipercayai ditangkap dengan menggunakan bahan letupan,” katanya.

Beliau berkata lanjut, kes ini disiasat dibawah Seksyen 26 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan bahan letupan mengebom ikan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pengenalan diri yang sah.

Bot pam dan kesemua peralatan termasuk ikan yang ditangkap oleh ketiga suspek tersebut turut dirampas dan kesemua barangan rampasan itu dianggarkan bernilai sekitar RM14,000.

Sementara itu, Abdul Nasir berkata, pasukan polis marin akan sentiasa meneruskan dan meningkatkan operasi dari semasa ke semasa untuk memastikan aktiviti yang menyalahi undang-undang di laut dapat dibenteras.

Justeru itu, kerjasama dari masyarakat setempat amat diperlukan khususnya dalam menyalurkan maklumat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *