Cadangan menghadkan pusat hiburan menjual arak di Labuan harus diteliti

7 Oktober 2018

Cadangan Parti Islam Semalaysia (PAS) Labuan sebelum ini agar pusat hiburan yang menjual arak wajib ditutup untuk memastikan imej Pulau Labuan kekal bersih dan positif harus dipandang dari pelbagai sudut.  

Kenyataan demikian yang dilontarkan oleh kepimpinan parti tersebut bukanlah yang kali pertama, tetapi sudah beberapa kali pernah disuarakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai individu di Labuan kepada pihak media.

Individu yang menyuarakan perkara itu bukan sahaja dikalangan orang yang beragama Islam bahkan bukan Islam dengan mengambil kira institusi kekeluargaan yang terkesan dengan kewujudan pusat hiburan atau kelab malam yang tumbuh bagaikan cendawan di Wilayah Persekutuan Labuan.  

Walaupun, Labuan mempunyai kelebihan dari segi status sebagai pulau bebas cukai, dimana arak dijual pada harga yang murah, ianya sepatutnya bukan menjadi alasan kepada pertumbuhan pusat hiburan dan kelab malam yang kononnya untuk menyokong serta mengalakkan industri pelancongan di Labuan.

Mungkin dari satu sudut ianya nampak benar. Tetapi, jika dilihat dari segi kerangka yang lebih luas, ianya hanya akan memberi impak negatif kepada warga Labuan untuk jangka masa yang panjang.

Kesibukan berpolitik dikalangan ahli politik Islam di Labuan tidak sepatutnya menyebabkan mereka terlalai didalam memperhalusi permasalahan ini.  

Apatah lagi perbezaan ideologi politik dikalangan pemimpin Islam yang sudah tentunya mengharu-birukan isu pokok didalam menyelesaikan pertumbuhan pusat hiburan yang menjual arak ini.

Ahli politik Islam diseru untuk kembali merujuk kepada sumber utama iaitu Al-Quran dan Hadis didalam melihat masalah seumpama ini.

Sikap ‘bipartisan’ dikalangan ahli politik Islam dari pelbagai parti politik di sini harus menjadi keutamaan didalam menyelesaikan isu ini.

Dimana kekuatan politik Islam seandainya mereka hanya menonton dan melihat sahaja pertumbuhan pusat hiburan menjual arak atau kelab malam tanpa sebarang campur tangan?

Tidakkah mereka terfikir nasib generasi mereka pada masa hadapan yang berpotensi untuk terjebak dengan kegiatan di pusat hiburan dan kelab malam tersebut?

Persoalannya, apa rujukan mereka didalam usaha mahu menyelesaikan masalah ini supaya ianya adil untuk orang Islam sebagai penduduk majoriti di Labuan dan juga adil untuk mereka yang bukan Islam?  

Perkara ini sudah tentunya berat untuk diselesaikan jika tidak kena pada caranya.

Namun, antara perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah masa depan anak muda di Labuan yang sudah lama terdedah dengan kehidupan sosial yang bercelaru dengan lambakan pusat hiburan dan kelab malam.

Walaupun, ada pihak yang mengatakan jika orang itu ada iman di dalam dada, dia tidak akan masuk ke pusat hiburan atau kelab malam, namun, apa usaha kita untuk mencegah anak kita dari memasuki tempat tersebut?

Penulis bukan ahli PAS, namun, penulis menyokong mana-mana individu atau pihak yang berusaha untuk memperbaiki kehidupan masyarakat setempat ke arah yang lebih baik sesuai dengan syariat dan kehidupan sosial serta norma kehidupan masyarakat yang mengamalkan cara hidup yang sihat.

Sejarah merupakan guru terbaik dan dikatakan orang yang tidak belajar daripada sejarah akan melalui kesakitan.

Setiap tahun, pihak kerajaan melalui kementerian kesihatan akan berusaha menjalankan kempen kesihatan agar masyarakat negara ini mengamalkan gaya hidup yang sihat dan salah satunya adalah kehidupan yang bebas dari rokok dan arak.

Kempen tersebut adalah penting kerana pertambahan jumlah pesakit di hospital kerajaan yang disebabkan oleh faktor merokok dan meminum arak sudah tentunya akan menyebabkan kos perbelanjaan kerajaan meningkat.

Selain cara pemakanan yang tidak sihat, penyakit yang berpunca daripada asap rokok dan penggunaan arak harus diambil kira.

Tujuan kempen tersebut adalah untuk menyedarkan masyarakat agar mengekalkan gaya hidup sihat iaitu ‘mencegah lebih baik daripada merawat’. Ini kerana, merawat sudah tentu akan melibatkan kos bukan sahaja kos yang akan dibayar oleh pesakit itu sendiri tetapi dari segi subsidi kerajaan.

Perbelanjaan ini belum lagi termasuk kos yang melibatkan pesakit HIV atau AIDS serta kos merawat penyakit kelamin (STD) seperti siflis dan sebagainya yang disebabkan aktiviti seks rambang.

Perbelanjaan tersebut juga turut meningkat untuk kos rawatan seandainya berlaku aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan atau kelab malam tanpa diketahui oleh pemilik atau pengurus premis hiburan tersebut.

Kos tersebut bukan sahaja untuk rawatan malah kos lain yang melibatkan agensi kerajaan yang berkaitan.

Manakala, kempen kesihatan yang dianjurkan oleh kementerian kesihatan pada setiap tahun juga memerlukan kos atau perbelanjaan yang besar.

Mungkin saja untuk menutup kesemua pusat hiburan dan kelab malam yang menjual arak di Labuan buat masa ini nampak mustahil. Namun, usaha untuk menghadkan pemberian lesen operasi pusat hiburan dan kelab malam yang menjual arak perlu dilakukan.

Berbalik kepada status pulau bebas cukai, jenis barangan bebas cukai perlu dipelbagaikan dan tidak terhad hanya kepada rokok, arak, coklat dan kenderaan.

Campur tangan dari pihak kerajaan amat perlu didalam usaha mempelbagaikan barangan bebas cukai di Labuan agar tiada alasan pusat hiburan dijadikan sesuatu yang penting untuk industri pelancongan di Labuan.

Jika ianya menjadi alasan utama, jenis pelancong yang datang ke Labuan tidak akan mempunyai variasi kerana pelancong yang datang hanya kerana arak dan pusat hiburan walaupun ianya boleh jadi aktiviti sampingan mereka.

Penulis bukan memandai-mandai, namun, kewajipan penulis untuk bersuara untuk menegur sesama umat agar tidak menjadi penyesalan di akhirat kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *