Isu kereta sapu berhampiran Menara PL cetus pelbagai respon dari netizen

7 Oktober 2018

Pelbagai respon dicetuskan oleh netizen terhadap isu bertajuk ‘Kereta Sapu Beroperasi Secara Bebas Berhampiran Menara Perbadanan Labuan (PL)’ yang diterbitkan oleh Labuan Times secara online pada 2 Oktober lalu.

Rata-rata netizen melahirkan rasa tidak puas hati mereka berkenaan dengan isu tersebut dan mereka menuntut serta menggesa agar pihak berkuasa di Wilayah Persekutuan Labuan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Menurut salah seorang netizen yang hanya dikenali sebagai JJ berkata, kegiatan kereta sapu di kawasan parkir tersebut sudah lama berlaku, namun, ianya seolah-olah dibiarkan berlaku tanpa penyelesaian yang tuntas oleh pihak berkuasa.

Beliau berkata, kereta sapu tersebut bukan sahaja mengangkut penumpang secara haram, malah, memonopoli kawasan parkir tersebut.

Kenyataan JJ ini jelas menunjukkan mereka yang terlibat dengan aktiviti kereta sapu itu berada di atas undang-undang kerajaan tempatan.

Ini kerana, salah seorang pengguna bas mini di Labuan berkata, sebelum ini beliau pernah menaiki bas mini dan meminta kepada pemandunya agar menurunkan beliau di satu kawasan di sekitar Bandar Labuan.

Namun, pemandu bas tersebut terpaksa menurunkan pengguna bas mini itu di tempat yang tidak jauh dari lokasi penumpangnya itu dan berkata kepada penumpang terbabit bahawa mereka tidak boleh menurunkan penumpang mereka di kawasan tadi kerana mereka kena patuh dengan peraturan.

Poin di atas menunjukkan pengusaha bas mini patuh terhadap peraturan pihak berkuasa dan hanya akan mengangkut dan menurunkan penumpang di tempat yang dikuatkuasakan.

Namun, siapa pula yang harus memantau kegiatan kereta sapu di Labuan terutamanya yang berhampiran dengan Menara PL?  

Sebaliknya, terdapat juga netizen yang menyokong kegiatan kereta api sapu di Labuan ini termasuk di kawasan parkir Menara PL.

Salah seorang netizen yang kurang senang jika tindakan dikenakan kepada kereta sapu tersebut menyifatkan ianya ‘menindas kaum mereka’.

Netizen lain yang menyokong aktiviti kereta sapu ini pula berkata, kereta sapu berkenaan dapat membantu sosio ekonomi penduduk Kiamsam.

“Cubalah fikir kesulitan pnduduk kiamsam kalau sekiranya kereta sapu ini tiada. Kereta sapu ini cuma tidak diberi peluang untuk mohon permit,” katanya.

Namun, kenyataan beliau itu dibalas oleh netizen lain yang berkata, “Permit itu kena tanya dengan pihak yang berkenaan dan mesti ada sebab kenapa tidak diberi”.

Ada pula netizen iaitu ‘penyokong’ kereta sapu tersebut berkata, “Bukannya semua ‘parking’ durang ambil”.

Penyokong kereta sapu lain pula berkata, “Ok lah tu durang beroperasi di sana. Mau cari rezeki”.

Manakala, salah seorang netizen yang menggesa agar pihak berkuasa meneliti isu ini, berkata, tindakan ke atas kereta sapu itu bukannya isu rasis atau tidak. Tetapi, ianya sama ada patuh terhadap undang-undang kerajaan tempatan atau tidak.

Pokoknya, apa pun komen yang dilontarkan oleh pihak netizen terhadap isu kereta sapu di Labuan, masalah ini perlu diselesaikan secara menyeluruh dan tegas.

Jika anda mempunyai MyKad negara ini, belajarlah untuk mematuhi undang-undang negara ini. Jika belum dan tidak punya, belajarlah untuk bersyukur dan menghormati undang-undang Malaysia.

Bagi yang diberi amanah dan kuasa, anda perlu tunaikan amanah anda tersebut kerana anda pasti ditanya di akhirat. Ianya akan menjadi penyesalan seandainya kuasa itu tidak ditunaikan secara benar.

Antara kereta sapu dan bas mini yang berlesen – sikap adil perlu ditunjukkan didalam menyelesaikan masalah ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *