Apa yang boleh diharapkan dari wakil rakyat yang melompat parti?

26 Oktober 2018

Tidak ada satu ketaatan yang sebenar-benarnya dalam dunia politik yang bertunjangkan kepada parti politik semata-mata tanpa dasar dan prinsip yang jelas.

Jika ada pun dasar dan prinsip yang digariskan dalam parti politik tersebut, namun, apakah ahli parti politik tersebut mampu menggarap maksud dasar dan prinsip demikian?

Rakyat Malaysia telah menyaksikan perubahan landskap politik negara setelah selesai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bulan Mei yang lalu.

Beberapa ahli politik dari Barisan Nasional (BN) telah membuat kejutan dengan melompat parti ke dalam Pakatan Harapan (PH).

Sesungguhnya keputusan PRU-14 yang lalu telah menguji keperibadian, watak dan karakter ahli politik berkenaan yang membuat keputusan ‘mengkhianati’ parti politik mereka sendiri dan rakan dari parti komponen mereka yang lain.

Segala sumpah setia kepada parti dan baiah kepada pemimpin tertinggi parti dilupakan dan dikorbankan demi kelangsungan karier politik mereka setelah parti komponen mereka tewas.    

Pada dasarnya, apa juga alasan yang diberikan oleh ahli politik terbabit untuk melompat parti, ianya tidak boleh diterima dari segi hukum prinsip dan karakter seorang pemimpin yang dihormati lagi disegani.

Kerana ianya hanyalah memperlihatkan diri sebenar pemimpin politik tersebut yang rakus untuk terus berpolitik dengan cara bersenang-lenang tanpa mahu mengenal erti perjuangan sebenar dalam pentas politik yang sesungguhnya memerlukan kesabaran serta daya juang yang tinggi.

Kita boleh lihat beberapa ahli politik dari PKR, DAP dan Amanah yang telah berjuang bertahun-tahun lamanya demi mempertahankan suara rakyat Malaysia dan sanggup ditekan oleh rejim Barisan Nasional yang dikepalai oleh Umno pada ketika itu.

Namun kini, mereka menuai hasil dari darah dan titik peluh mereka setelah memenangi dalam pilihanraya baru-baru ini.

Sejarah menyaksikan darah perjuangan mereka tumpah pada himpunan Reformasi dan Bersih dalam beberapa siri yang diadakan kerana mahu menuntut keadilan dari pihak kerajaan terdahulu yang kini tumbang dihukum rakyat jelata.

Demikian, juga dengan barisan pemimpin dari Bersatu dan Warisan yang berani berhadapan dengan rejim BN ketika puncak kebangkitan rakyat setelah puas ‘menderita’ dibawah pemerintahan BN selama ini.

Manakala, mereka yang melompat parti dari BN ke PH pula, selama bertahun-tahun memusuhi ahli politik dari PH yang ketika itu masih pembangkang sehinggalah tibanya tarikh 9 Mei 2018. Demikian, juga sikap mereka terhadap penyokong PH pada ketika itu.

Dimana letaknya maruah mereka sebelum BN kalah? Mereka selesa dalam komponen BN dan apabila BN kalah secara tiba-tiba mereka ‘selesa’ pula dalam PH setelah ‘lompatan maut’ mereka berjaya. Dimana daya juang dan kesabaran mereka dalam menempuh karier politik yang penuh onak dan duri?

Mungkin penyokong dan pengundi mereka merestui akan keputusan pemimpin mereka beralih arah dengan melompat parti dari BN ke PH. Namun, apakah pemimpin, penyokong dan pengundi PH merestui tindakan ahli politik berkenaan pada erti kata yang sebenarnya?

Sumpah serana yang ditaburkan kepada pemimpin dan penyokong PH dahulu kini terpaksa ditelan balik walaupun pahit, jijik dan busuk demi survival politik mereka.

Adalah lebih bermaruah seandainya bekas pemimpin BN yang kini ‘duduk’ dalam PH kekal menjadi seorang pembangkang yang berwibawa walau apa jua cabaran di hadapan mereka kerana onak dan duri itulah yang dihadapi oleh pemimpin PH ketika menjadi pembangkang dahulu.

Atau bekas pemimpin BN itu yang kini bertukar baju memakai baju PH tidak sanggup menghadapi kesusahan dan kepayahan demikian?

Lagilah rakyat tahu yang pemimpin tersebut tidak sanggup susah untuk membela nasib rakyat dan mungkin punya agenda tersendiri dengan menyertai PH.

Sekurang-kurangnya dengan menjadi ahli parlimen bebas kurang sedikit celanya. Tetapi, dengan meninggalkan parti dalam komponen BN untuk menyertai parti dalam komponen PH adalah sesuatu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Rakyat bawahan mengistilahkan ahli politik yang melompat parti sebagai katak kerana geram dengan ahli politik berkenaan yang dilihat cuma pentingkan kedudukan semata-mata.

Kini ‘ahli politik katak’ tersebut terpaksa menggadaikan maruah dan wibawa mereka sebagai seorang ahli politik yang dahulunya sebelum ‘disumpah menjadi katak’ mungkin dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.

Di mana mereka di hati rakyat yang dahulunya terkejar-kejar di belakang punggung pemimpin BN dan kini terkejar-kejar di belakang menteri PH pula?

Apakah mereka berpeluang untuk dicalonkan semula untuk bertanding dalam PRU yang akan datang dibawah tiket PH?

Apakah kemenangan mereka dalam PRU yang lalu signifikan dengan majoriti yang besar untuk melayakkan mereka bertanding semula dibawah kerusi PH?

 

Foto: pexels

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *