Bersatu tidak perlu ditubuhkan di Sabah

10 Januari 2019

Bekas pemimpin Umno Sabah yang mahukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ditubuhkan di Sabah, seharusnya sensitif terhadap sentimen dikalangan rakyat tempatan Sabah yang sejak sekian lama mahukan parti tempatan mentadbir Sabah.

Setelah hampir dua dekad atau lebih Umno berkuasa di Sabah dan selama itu pula rakyat Sabah mahu Umno ditendang keluar dari Sabah, secara tiba-tiba, beberapa bekas pemimpin Umno mahu berkongsi kuasa dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) dengan cara menubuhkan Bersatu di Sabah.    

Barisan bekas pemimpin Umno yang dianggap tiada pendirian dan ‘opportunist’ ini dilihat masih jauh dari jiwa rakyat Sabah disebabkan tindakan mereka mahu Bersatu ditubuhkan di Sabah, boleh dipersoalkan.

Bagi bekas Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Umno di Sabah, kenapa secara tiba-tiba keluar dan menyatakan sokongan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Demikian juga dengan bekas pemimpin Umno yang juga memimpin NGO di Sabah juga membuat kejutan dengan mengeluarkan suara mahukan Bersatu di Sabah.

Ada pula bekas pemimpin Umno Sabah yang menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini dan berhasrat mahukan Bersatu ditubuhkan di Sabah dengan tujuan mahu memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera di Sabah.

Agenda beliau sama seperti Umno dahulu dan jika itu tujuan beliau, apakah Warisan yang terdiri dari pemimpin pelbagai kaum tidak mampu memperjuangkan agenda tersebut?

Dan sememangnya situasi di Sabah sangat unik yang terdiri dari pelbagai kaum serta tidak memerlukan satu kaum yang dilihat ‘dominan’ sebagai asas perjuangan mereka kerana ianya akan mewujudkan bau dan sikap perkauman sebagaimana ianya wujud dalam era pemerintahan Umno dahulu.

Kini dalam era Malaysia Baru dan dalam rangka membina Bangsa Malaysia, semua kaum perlu dilibatkan dalam era baru di negara ini, dan tidak lagi dipecahkan mengikut parti politik masing-masing seperti zaman Barisan Nasional dahulu sehingga ada kaum yang tertinggal di belakang dalam arus pembangunan bangsa.

Dalam konteks Sabah, parti tempatan yang tidak memihak kepada satu kaum sahaja amat dekat di hati rakyat Sabah untuk sama-sama membangunkan negeri yang mereka cintai.

Bukan mudah untuk menendang keluar Umno dari Sabah setelah beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) berlalu.

Setelah Umno lumpuh di Sabah, kini bekas pemimpin Umno di Sabah pula mahukan parti baru yang mampu menggantikan Umno.

Jika alasan mereka kenapa DAP dan PKR diizinkan untuk ditubuhkan di Sabah. Parti tersebut sudah lama berjuang di Sabah dan parti komponen PH tersebut tidaklah dilihat sebagai parti dominan termasuk Amanah yang baru ditubuhkan di Sabah.

Namun, Bersatu yang dilihat sebagai sebuah parti dominan, sudah tentunya akan mewujudkan ‘conflict of interest’ dengan Warisan di Sabah. Tambahan pula, jika Bersatu ditubuhkan di Sabah, ianya akan dipimpin oleh bekas pemimpin Umno yang tidak jelas akan agenda perjuangan mereka.

Jika mahu berjuang, tidak semestinya kena masuk dalam pasukan pemerintah. Dalam pembangkang pun boleh berjuang dan lagi bebas untuk bersuara berbanding dalam kerajaan.

Apakah kerana risau hilang pengaruh dan tidak biasa hidup susah menyebabkan bekas pemimpin Umno mahu melompat dalam kerajaan dengan cara menubuhkan Bersatu di Sabah kerana tidak berpeluang masuk ke dalam Warisan?

Mereka seharusnya menghormati hasrat dan apa yang dikehendaki oleh rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan menjadi dominan untuk mentadbir Sabah.

Cukuplah dengan agenda peribadi mereka yang mahu Bersatu ditubuhkan di Sabah sebagai alat untuk mencapai tujuan mereka yang dilihat mempunyai ‘kepentingan rahsia peribadi’.

Sebaiknya, lebihkan ibadah dari berpolitik dan bagi pemimpin NGO Islam yang mahukan Bersatu di Sabah, jangan cemarkan nama baik agama demi kepentingan politik peribadi.

Photo Source: wikipedia 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *