Dua perenang Labuan sumbang lima emas

18 Januari 2019

LABUAN – Dua perenang dari Persatuan Akuatik Labuan (PAL), Nichole Tiong berumur lapan tahun dan Bryan Chin berumur 17 tahun, telah menunjukkan prestasi cemerlang mereka dalam Kejohanan Renang Jemputan Sabah Ke-52, yang telah diadakan di Pusat Akuatik Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Nichole iaitu pelajar SJKC Chi Wen, telah dinobatkan sebagai Perenang Perempuan Terbaik bagi kategori bawah lapan tahun setelah merangkul tiga pingat emas dalam acara 50 meter kuak dada, 50 meter kuak lentang dan 50 meter gaya bebas.

Beliau turut memenangi dua pingat perak melalui acara 100 meter gaya bebas dan 50 meter kuak kupu-kupu.   

Sementara itu, Bryan iaitu pelajar SM St. Anthony berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara 50 meter dan 100 meter kuak dada, serta satu pingat gangsa dalam acara 50 meter gaya bebas.

Pasukan renang Labuan yang dikendalikan oleh Michelle Cassandra Hon, berpuas hati dengan pretasi perenang PAL kerana kebanyakan mereka telah membuat catatan rekod masa peribadi terbaik dalam acara masing-masing.

“Saya berharap pada tahun yang akan datang, PAL akan terus memberi saingan yang lebih kuat kepada pasukan lain serta akan menghantar lebih ramai perenang yang berbakat menyertai kejohanan ini,” katanya.

PAL yang menduduki tempat ketujuh dalam kejohanan itu telah berjaya mengutip lima pingat emas, dua pingat perak dan dua pingat gangsa.

Seramai 15 orang perenang yang terdiri daripada 10 orang lelaki dan lima orang perempuan, berumur antara tujuh ke 17 tahun telah mewakili PAL dalam kejohanan tersebut.

Dalam kejohanan yang disertai sembilan buah pasukan itu; juara keseluruhan dimenangi oleh Penampang Preppies SC (juara keseluruhan). Manakala, Sea Dragon Swimming Club dan Pjms Aquatic Swimming, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *