Pantau majikan yang enggan membayar gaji minima di Labuan

22 Januari 2019

Agensi Kerajaan yang berkaitan diseru untuk memantau kadar pembayaran gaji bulanan pekerja di sektor swasta seperti premis perniagaan di Labuan untuk memastikan pekerja tersebut menikmati kadar pembayaran gaji minima yang ditetapkan oleh pihak kerajaan iaitu RM1,050 sebulan.

Penetapan kadar gaji tersebut telah mula berkuatkuasa sejak 1 Januari tahun ini. Namun, masih terdapat aduan dari pekerja di beberapa premis perniagaan di Labuan, bahawa mereka tidak dibayar gaji seperti yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sebelum ini.

Ada keluhan dari salah seorang bakal pekerja yang memohon pekerjaan di salah sebuah premis perniagaan di kawasan Bandar Labuan, yang gaji dia akan dibayar pada kadar RM900 sebulan untuk peringkat permulaan.

Keputusan bakal majikan tersebut yang hanya mahu membayar gaji pada kadar tersebut untuk peringkat permulaan, adalah jelas tidak selari dengan apa yang telah dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.

Oleh yang demikian, situasi seperti ini memerlukan perhatian dari agensi kerajaan yang berkaitan untuk memantau perkara tersebut di setiap premis agar bakal pekerja dan pekerja yang sedia ada mampu mendapat faedah dari gaji minima tersebut.

Ianya juga melibatkan hak pekerja yang dinafikan, kerana desas-desus mengatakan, masih banyak majikan yang membayar gaji pekerja mereka kurang dari kadar gaji minima yang ditetapkan.

Melalui pemantauan, di Sabah juga masih terdapat pekerja di premis perniagaan yang dinafikan hak mereka untuk mendapat gaji minima pada RM1,050.

Ketika pihak kerajaan iaitu pentadbiran dahulu, menaikkan gaji minima sebanyak RM800 untuk golongan pekerja di Sabah dan Sarawak termasuk Labuan, masih terdapat pekerja yang dibayar gaji bulanan hanya pada kadar RM400, RM500 dan RM600 sebulan.

Perkara tersebut sudah tentu menyedihkan hati bagi pekerja yang hanya bekerja di premis perniagaan biasa kerana mereka juga perlu menyara hidup mereka serta keluarga mereka.

Adalah diharapkan, agensi kerajaan yang diamanahkan untuk memantau perkara seumpama ini menjalankan tugas mereka untuk mengelakkan golongan pekerja dari dieksploit oleh majikan mereka.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *