Habib Ali Zaenal Abidin serikan majlis maulid akbar

11 Februari 2019

LABUAN: Majlis Maulid Akbar dan Selawat Perdana yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat di Pulau Bebas Cukai ini sangat bermakna dengan kehadiran Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid yang menceriakan suasana majlis dengan tausiahnya yang bertajuk ‘Indahnya Hidup Masyarakat Bersyariat’ yang diadakan di Dewan Konvensyen, Ujana Kewangan semalam.

Antara isi kandungan tausiah beliau ialah janji Allah yang akan membuka banyak pintu keberkatan dari langit dan bumi kepada penduduk sesebuah negeri itu dengan dua syarat iaitu beriman kepada Allah dan takwa yang sesuai dengan manhaj yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Ianya berdasarkan kepada dalil yang terdapat dalam Al-Quran.

Beliau turut menjelaskan, kepentingan pembangunan keluarga sesuai dengan sunnah Rasulullah SAW yang akan menentukan corak kehidupan masyarakat.

“Ayat Al-Quran dan sunnah nabi perlu dikaji. Suami perlu duduk dengan isteri dan anak-anak, dan menceritakan kisah atau sirah Rasulullah SAW kepada mereka.

“Peribadi dan rumah tangga Rasulullah SAW adalah kiblat kita,” katanya sambil memetik hadis yang menganjurkan agar bersikap baik terhadap ahli keluarga kerana Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya.

Habib Ali Zaenal mengkisahkan kehidupan Nabi Muhammad SAW yang gemar membantu isteri beliau di rumah seperti menyapu, membersihkan sampah, menjahit dan sebagainya. Namun, apabila azan berkumandang, beliau seorang yang serius dan bersegera untuk solat.

“Nabi juga dikhabarkan sering kali mencium kedua cucunya iaitu Hassan dan Hussein. Baginda SAW seorang yang sederhana didalam sikapnya terhadap ahli keluarganya.

“Berapa ramai yang bangga dengan keluarganya sendiri?” soal Habib Ali yang turut menekankan agar tidak banyak ‘komplen’ terhadap ahli keluarga sendiri, bersyukur terhadap nikmat Allah dan memiliki azam untuk menjadi insan yang pendamai.

Turut menceriakan suasana ialah persembahan qasidah oleh Kumpulan Nur Ahli Badr.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah pengerusi Perbadanan Labuan,  Datuk Seri Amir Hussein. 

 


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *