Dua puluh tujuh ketua kampung terima watikah pelantikan

14 Februari 2019

LABUAN: Sejumlah dua puluh tujuh ketua kampung telah menerima watikah pelantikan mereka yang diserahkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad pagi tadi dalam majlis yang diadakan di salah sebuah hotel sini.

Tempoh lantikan ketua kampung tersebut yang juga dikenali sebagai Majlis Pengurusan Ketua Kampung (MPKK) berkuatkuasa untuk tahun 2019 hingga 2022.

Dalam majlis yang sama, sejumlah 49 orang dilantik untuk Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) yang dipimpin oleh seorang pengerusi zon dan dibantu oleh tiga pengerusi sub zon untuk tempoh lantikan 2019 hingga 2020.

Dalam sidang media, Khalid berkata, lantikan MPPWP dan MPKK tersebut adalah penting di peringkat akar umbi untuk membantu menjelaskan usaha kerajaan kepada masyarakat.

“Sekarang ini terlalu banyak informasi tidak tepat yang tersebar luas di laman media sosial terhadap kerajaan dan masyarakat perlukan maklumat yang tepat.

“Pihak kerajaan juga akan memberi sejumlah peruntukan kepada MPPWP dan MPKK untuk kepentingan rakyat.

“Saya harap mereka yang dilantik tidak mencampuradukkan elemen politik dalam khidmat kebajikan mereka kepada masyarakat,” katanya.

Khalid turut berkata, prestasi ahli MPPWP dan MPKK akan dipantau dari semasa ke semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *